KUCHING, 13 Jan (Bernama) -- Kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di bandar-bandar utama negeri ini iaitu Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang pertengahan tahun ini.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman berkata setakat ini, hanya sebahagian sahaja CCTV berkenaan sudahpun beroperasi yang dipasang di kawasan tumpuan awam, kerap berlaku kes jenayah dan di beberapa jalan utama.
"Tujuan pemasangan CCTV ini diharap dapat membantu pihak polis memantau dan mencegah kejadian jenayah dan kegiatan haram," katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Safe Cam Partnership PDRM dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) serta Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) di sini hari ini.
Muhammad Sabtu turut menggesa pegawai dan anggota polis supaya bertindak pantas sebaik sahaja menerima maklumat kejadian jenayah yang berjaya dirakam kamera berkenaan.
"Kita perlu mempunyai pasukan yang boleh bertindak cepat supaya orang ramai terus mempunyai keyakinan terhadap kewibawaan pihak polis dalam tugas membanteras jenayah," katanya.
Mengenai kerjasama pencegahan jenayah antara DBKU dan MBKS, Muhammad Sabtu berharap kadar jenayah di bandar raya ini akan dapat diturunkan kerana akan memudahkan pihak polis dalam tugasan pemantauan dan pencegahan.
"Menerusi kerjasama yang dijalin, pihak DBKU dan MBKS akan segera melaporkan sebarang perbuatan jenayah yang dirakam menerusi CCTV masing-masing kepada pihak polis untuk tindakan segera," katanya.
Beliau berkata selain pihak berkuasa tempatan, polis juga akan bekerjasama dengan pemilik premis perniagaan, dalam usaha membanteras jenayah.
Sehubungan itu, beliau menyeru pemilik premis perniagaan terutama gedung membeli-belah dan bank, supaya mendaftar CCTV yang dipasang di premis masing-masing dengan pihak polis.
Sementara itu, Datuk Bandar Kuching Utara, Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai berkata DBKU sudahpun memasang 24 unit CCTV di kawasan tumpuan awam dan kerap berlaku jenayah.
Bagi kawasan di bawah bidang kuasa MBKS, Timbalan Datuk Bandar MBKS, Abang Affandi Abang Anuar berkata sebanyak 20 CCTV sudah dipasang di kawasan berkenaan. -- BERNAMA
CCTV Di Sarawak Dijangka Beroperasi Sepenuhnya Pertengahan Tahun Ini
Reviewed by Admin
on
January 13, 2015
Rating:
Reviewed by Admin
on
January 13, 2015
Rating:
.jpg)
No comments: