Seo Services

Fenomena Air Pasang Besar Di Kuching Belum Menyebabkan Bah Besar - Bomba

 
KUCHING: Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak menjelaskan fenomena air pasang besar dan hujan lebat sejak semalam tidak membabitkan kenaikan air sehingga air Sungai Sarawak melimpah membanjiri perkampungan sekitarnya.

Sehubungan itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Farhan Sufiyan Borhan, berkata penyiaran gambar mengenai banjir buruk yang dihebahkan menerusi media sosial adalah gambar banjir sebelum ini, bukannya fenomena terbaharu.

"Di Kuching, memang berlaku kenaikan beberapa sungai, khususnya Sungai Sarawak berikutan hujan lebat sejak beberapa hari lalu.

"Bagaimanapun, keadaan terkawal dan tidak seteruk seperti dalam gambar-gambar kejadian banjir di Bandaraya Kuching sebelum ini yang kini tersebar di laman sosial," katanya ketika dihubungi BH sebentar tadi.

Farhan turut meminta kerjasama orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat palsu, termasuk koleksi gambar kejadian banjir terdahulu sehingga boleh mencetuskan panik.

"Sejak semalam, kita memantau banyak gambar kejadian banjir terdahulu (di Kuching) disebarkan melalui laman sosial hingga menjadi viral.

"Ini harus dihentikan segera kerana ia tidak menggambarkan apa yang sebenarnya berlaku," katanya.

Farhan berkata, fenomena air pasang besar, selain hujan lebat yang melanda negeri ini sejak semalam menyebabkan beberapa bahagian mula ditenggelami banjir.

Di Kuching, antara kawasan yang ditenggelami banjir ialah Samarahan, Batu Kitang, Batu Kawa dan Padawan, namun keadaan masih terkawal.

Bahagian Limbang bagaimanapun dikenal pasti paling teruk terjejas dan turut membabitkan perpindahan penduduk.

Sementara itu, BERNAMA melaporkan, keadaan angin kencang Timur Laut yang melanda kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Sarawak, Sabah (Pedalaman, Pantai Barat dan Kudat) dan Labuan dijangka berterusan sehingga Selasa.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi, keadaan angin kencang dengan kelajuan 50-60 kmsj dan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter itu berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.

"Selain itu, kawasan pantai di Kelantan, Terengganu dan Johor Timur terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut sehingga esok," menurut kenyataan itu.

Jabatan itu turut memaklumkan, angin kencang Timur Laut berkelajuan 40-50kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter yang berlaku di perairan Sabah (Sandakan) dijangka berterusan sehingga Selasa dan keadaan itu berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

Sementara itu amaran ribut petir di perairan Sarawak dengan angin kencang berkelajuan 50-60 kmsj dan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter akan berterusan sehingga lewat petang ini. Menurut kenyataan itu, kawasan lain termasuk perairan Condore, Reef North, Layang-layang, Palawan, Samui, Tioman, Bunguran, Kuching, Labuan dan Sulu yang mengalami angin kencang dengan kelajuan 50-60 kmsj, laut bergelora dan ombak mencapai sehingga 4.5 meter dijangka berterusan sehingga Selasa ini.

Sementara amaran ribut petir di perairan Bunguran, Reef South dan Kuching dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter dan perairan Sulawesi dengan ombak berketinggian sehingga 3.5 meter, masing-masing dijangka berterusan sehingga lewat petang ini.

Keadaan itu berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan. - BERNAMA
Fenomena Air Pasang Besar Di Kuching Belum Menyebabkan Bah Besar - Bomba Fenomena Air Pasang Besar Di Kuching Belum Menyebabkan Bah Besar - Bomba Reviewed by Unknown on January 18, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.