Wonderful Lifestyle Sdn Bhd, rakan kongsi francais induk Gloria Jean's Coffees di Malaysia dan Brunei, menyasar membuka 12 lagi cawangan pada akhir tahun ini menjadikan jumlah kesemuanya 53.
Pengerusinya, Datuk Ahmad Shalimim Ahmad Shaffie berkata lebih ramai orang, terutamanya yang berusia bawah 35 tahun berminat untuk menjadi pemegang francais Gloria Jean's Coffees.
"Ketika ini, 40 peratus cawangan francais kami diusahakan oleh generasi muda dan kami mahu melihat bilangannya bercambah," katanya kepada pemberita pada majlis pembukaan satu lagi cawangan di Metro Point Complex, di sini, hari ini.
Ahmad Shalimim yang yakin dengan industri francais walaupun keadaan ekonomi tidak menentu sekarang berkata Wonderful Lifestyle menyasar pembukaan 25 peratus lagi cawangan tahun ini berbanding tahun lepas.
"Justeru itu, kami menjangka angka jualan yang lebih besar. Kami akan membuka cawangan seterusnya di Terengganu dan Kedah," katanya sambil menambah terdapat juga rancangan untuk membuka satu lagi cawangan di Brunei dan cawangan pertama di Indonesia.
Wonderful Lifestyle merupakan anak syarikat milik penuh Malaysia International Franchise (MyFranchise) Sdn Bhd, cabang pelaburan francais Perbadanan Nasional Bhd, agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.- BERNAMA
Gloria Jean's Coffees Akan Buka 12 Lagi Cawangan Francais
Reviewed by Unknown
on
January 18, 2015
Rating:
No comments: