Sejumlah 15 keluarga dari kawasan Pekan Medamit, Limbang telah dipindahkan ke Dewan Masyarakat Medamit.
Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Kecil Medamit Donny Dunggat yang dilaporkan RTM sebagai berkata, mangsa-mangsa banjir mula berpindah pada pukul 1.30 petang tadi berikutan air mulai naik melebihi satu meter.
"Kenaikkan paras air itu berikut hujan yang turun di hulu Long Napir, Limbang sejak beberapa hari lalu," katanya sambil menambah, kakitangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak turut berada di pusat pemindahan bagi menghulur bantuan kepada penduduk terjejas.
Sementara itu di Baram pula, sebanyak 10 buah rumah panjang yang didiami oleh seramai 4,614 penghuni dari 636 keluarga yang tinggal di di Ulu Baram dilanda banjir sejak semalam berikutan hujan lebat.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bilik Operasi Banjir Daerah Miri, 10 buah rumah panjang tersebut ialah Long Iman dan Kampung Mulu di kawasan Mulu, Long Panai, Long Bemang Apoh,Sekolah Kebangsaan Long Bemang Apoh, Klinik Long Bemang Apoh, Long Peluan, Long Tungan ,Lio Mato dan Pa Dalih di Ulu Baram.
Difahamkan, paras air telah naik hingga ke 0.9 meter dari lantai rumah dan sehingga jam 4 petang tadi dan keadaan ini sedang dipantau.
Keadaan di Long Iman pula sehingga jam 2 petang tadi telah menujukkan paras air semakin surut sejak manakala di Long Peluan pula dilaporkan banjir hanya merosakkan tanaman seperti padi dan turut menyebabkan empat jambatan gantung terputus.
Sehingga berita ini ditulis, tiada mangsa dilaporkan dipindahkan dari kawasan yang terjejas di sana setakat ini.
ADUN Telang Usan Dennis Ngau ketika dihubungi RTM petang ini memberitahu beliau bersama Pegawai Daerah Miri, Boniface Intang akan melawat penduduk terjejas banjir esok.
Dennis juga mengingatkan penduduk yang tinggal di sepanjang sungai Baram dan Sungai Tutoh agar sentiasa berjaga-jaga dalam menghadapi banjir ini.
Selain itu, pelbagai pihak dan agensi berkaitan turut bersiapsiaga kepada sebarang keperluan seperti Rejimen Askar Melayu Diraja ke-20, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Polis, Bomba dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia selain aset melibatkan lori, landcruser, trak, bot dan helikopter bomba.
Di Balingian pula, seramai 166 penduduk daripada 57 keluarga terjejas banjir apabila kawasan mereka di Balingian dinaiki air sejak malam tadi.
Setakat pukul 11 pagi tadi seramai 76 orang penduduk terjejas banjir dari Rumah Meling Sungai Setejuk Balingian Mukah ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementera di SK Kuala Balingian.
Pemindahan mula dilakukan pukul 8 malam semalam akibat rumah panjang 22 pintu tersebut dinaiki air sehingga lebih empat kaki.
Seramai 90 penduduk terjejas dari Rumah Jinggap Sg Seteguk Balingian dipindahkan ke PPS SK Kuala Balingian setakat pukul 12 tengahari ini.
Di beberapa kawasan di Kuching dan Samarahan juga telah dilanda banjir kilat. - Sumber asal dari RTM
Beberapa Kawasan Di Sarawak Mula Dilanda Banjir
Reviewed by Salfian Nawawi
on
January 18, 2015
Rating:
No comments: