KUALA LUMPUR: Sebarang
bentuk peraduan berkonsepkan ‘gores dan menang’ akan diharamkan dan peniaga
tidak lagi dibenar menawarkan kegiatan seumpama itu kepada pengguna.
Ketua Pengarah Penguat
Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan, Mohd. Roslan
Mahayuddin berkata, larangan itu akan dilaksanakan sebaik sahaja kementerian
mewujudkan sebuah undang-undang kecil di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999
pada tahun ini bagi membanteras habis-habisan kegiatan penipuan menggunakan
modus operandi tersebut.
Menurut beliau, pada
masa ini, sindiket peraduan gores dan menang dikesan terus berleluasa disebabkan
tiada undang-undang khusus yang membolehkan tangkapan terus dibuat, sebaliknya,
langkah penguatkuasaan perlu menggunakan akta berbeza atau berkaitan
menyebabkan tindakan pendakwaan sukar dan lambat diambil.
Sehubungan itu, tegas
beliau, di bawah undang-undang kecil baharu itu kelak, mana-mana pihak yang
masih mahu menjalankan peraduan gores dan menang itu perlu meminta kebenaran
daripada kementerian terlebih dahulu.
“Sebelum ini, langkah
penguatkuasaan sindiket gores dan menang hanya boleh didakwa di bawah Akta
Jualan Langsung 1993 iaitu kita anggap mereka menjalankan perniagaan jualan
langsung tanpa lesen. Selain itu. kita turut menggunakan Akta Perlindungan
Pengguna 1999 di bawah kes penipuan, namun ini sukar dilaksanakan sebab kena
ada pembuktian lengkap bagaimana kes penipuan itu berlaku.
“Oleh itu, kita rasakan
perlu untuk mewujudkan undang-undang kecil ini dengan menghapuskan terus semua
kegiatan gores dan menang, jadi mudah bagi kita untuk membuat penguatkuasaan,”
katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan
Cemerlang kementerian itu di sini hari ini.
Laporan khas Utusan
Malaysia semalam membongkar sindiket gores dan menang yang semakin berleluasa
biarpun sudah beribu laporan polis dibuat dan ratusan laporan dikemukakan
kepada pihak kementerian, namun sindiket yang berselindung di sebalik
syarikat-syarikat tidak pernah serik menjalankan kegiatan haram mereka.
Berikutan itu, Menteri
Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek
memberi jaminan, sindiket berkenaan tidak akan lagi dibiarkan terus
bermaharajalela di negara ini menjalankan kegiatan penipuan mereka sehingga
boleh mengaut keuntungan jutaan ringgit.
Dalam pada itu, Mohd.
Roslan berkata, pada masa ini pihak kementerian sedang mengenal pasti beberapa
syarikat yang dikesan ‘melindungi’ sindiket gores dan menang itu dengan
mendapatkan kerjasama pihak polis, persatuan-persatuan pengguna dan Suruhanjaya
Syarikat Malaysia (SSM).
Katanya, ini termasuk
berganding bahu dengan semua pasar raya besar untuk memastikan ‘ulat’ itu
tidak dibenarkan menjalankan kegiatan di premis mereka memandangkan sasaran
utama kumpulan itu adalah di lokasi tumpuan orang ramai.
“Saya juga ingin
menafikan sebarang dakwaan terhadap pasukan penguat kuasa yang dikatakan
‘melindungi’ sindiket itu termasuk tuduhan menerima rasuah dan sebagainya
kerana pihak kami menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan begitu komited
demi kepentingan pengguna.
“Pengguna juga diminta
tidak mudah terpedaya jika didatangi mana-mana pihak yang menawarkan hadiah
tidak munasabah, jangan buka ruang atau beri peluang kepada mereka untuk mereka
mudah menjerat kita,” katanya. - UO
’Gores Dan Menang’ Diharamkan
Reviewed by MRJ | Mr. Januarius Tomek
on
January 14, 2015
Rating:
Reviewed by MRJ | Mr. Januarius Tomek
on
January 14, 2015
Rating:

No comments: