Seo Services

Ikwam Perkenal Injap Bantu Mangsa Banjir


KUANTAN – Institut Kemajuan Wanita Malaysia (Ikwam) memperkenalkan Program Integrasi Jaringan Pemudahan Cara (Injap) bagi membantu keluarga memerlukan bantuan, terutama mangsa musibah banjir baru-baru ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Siti Zaharah Sulaiman berkata, pihaknya melihat bantuan yang diberikan perlu dibuat susulan dan bukan bersifat sekali beri sahaja.

Beliau berkata, menerusi Injap, data mangsa seperti lokasi, ne­geri dan keadaan rumah sama ada musnah keseluruhannya akan dikenal pasti, sekali gus membolehkan tumpuan diberikan kepada pemantauan serta bantuan susulan kepada mangsa terlibat.

“Bantuan dalam bentuk jangka masa pendek atau panjang yang diberikan bukan sahaja meliputi isi rumah, individu dan keperluan harian tetapi merangkumi infrastrukturnya.

“Isi rumah tersebut juga diberi perhatian dengan mengambil kira anak-anak mangsa yang bekerja, mempunyai kelulusan dan juga keperluan bantuan pekerjaan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir menerusi Program Titian Kasih, Fasa Pertama di sini hari ini.

Yang turut hadir Ahli Lembaga Pemegang Amanah Ikwam, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Datuk Md. Sohaimi Mohamed Shah dan ADUN Panching, Datuk Zaili Besar.

Pada majlis itu, seramai 500 ketua keluarga dari Parlimen Paya Besar yang terjejas banjir baru-baru ini menerima bantuan tilam, bantal dan selimut.

Menurut Siti Zaharah, Ikwam bukan sekadar menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir malah memantau keadaan psikologi mereka yang terlibat dengan musibah itu.

“Kita mendapati kebanyakan mangsa banjir menghadapi trauma tahap tinggi kerana musibah kali ini berbeza yang mengakibatkan kehilangan rumah dan punca pendapatan. Ketika inilah semangat mereka perlu dibangkitkan semula selain memastikan nasib terbela,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sejak ditubuhkan pada Mac 1987, Ikwam membuat penampilan semula menerusi program pertama hari ini iaitu Program Titian Kasih, Fasa Pertama yang bermula di Parlimen Paya Besar.

“Selepas ini kita akan bergerak ke kawasan dan negeri lain yang terjejas banjir termasuk Sabah dan Sarawak. Aktiviti tertumpu kepada banyak aspek khususnya melibatkan pendidikan dan kebajikan keluarga mangsa,” katanya. - Utusan Online
Ikwam Perkenal Injap Bantu Mangsa Banjir Ikwam Perkenal Injap Bantu Mangsa Banjir Reviewed by uMieySurianie on January 26, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.