PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hajah Nancy Shukri mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pembaharuan Undang-Undang Malaysia (JPUUM) 1/2015 di sini sebentar tadi.
Nancy, dalam ucaptamanya berkata, melangkah ke tahun 2015, beliau berharap agar semua dapat memperkuatkan iltizam dan semangat untuk membawa perubahan dalam menjadikan JPUUM lebih berkesan dan relevan.
"Kita sama-sama bersetuju sebelum ini supaya JPUUM membuka lembaran baru, merubah hala tuju dan melaksanakan perubahan pada tahun 2015."
"Sama-samalah kita berusaha dan bekerjasama menyumbang tenaga dan idea ke arah menjadikan aktiviti JPUUM lebih bermakna dalam usaha pembaharuan undang-undang demi kesejahteraan dan kemajuan Negara," katanya lagi.
Nancy juga mengingatkan kepada semua agar menganggap ini sebagai sumbangan dan bakti tulus kita sebagai orang yang diberikan amanah dan kepercayaan dalam jawatankuasa ini kepada negara yang kita cintai.
"Semoga, di akhir tahun 2015, kita sama-sama dapat menoleh ke belakang dan senyum melihat jejak-jejak kejayaan yang ditinggalkan dan memantau perubahan serta usaha pembaharuan yang telah sama-sama kita usahakan. Kesemuanya itu adalah demi negara kita yang kita cintai ini. Itulah harapan besar saya kepada semua ahli JPUUM sekalian," katanya lagi.
Turut hadir pada mesyuarat tersebut ialah ahli-ahli JPUUM yang terdiri daripada pakar dan pengamal undang-undang di negara ini termasuk Prof. Madya Dr. Azmi Sharom, Pensyarah Undang-Undang Universiti Malaya, Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, YBhg Dato' Nursiah Bt Arshad, Ketua Jabatan Bantuan Guaman Malaysia, Puan Siti Zawahir Mohamed, Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi Malaysia, Puan Haslina Mansor serta pengamal undang-undang dari Sabah dan Sarawak iaitu Encik Hisham Abdullah dan Encik Abang Haji Ariffin Bin Abang Haji Bohan. - Sarawakiana
JPUUM Buka Lembaran Baru
Reviewed by uMieySurianie
on
January 27, 2015
Rating:
No comments: