Jumlah mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan ke pusat-pusat pemindahan telah meningkat sejak tengah malam semalam.
Setakat jam 12 tengah malam tadi, seramai 1,697 mangsa dari 15 kampung telah dipindahkan.
Menurut statistik kenyataan dari pegawai bertugas Bilik Operasi Banjir Bahagian Kuching Julius Scott Sapong, mangsa-mangsa yang telah dipindahkan terdiri dari 422 keluarga.
Terdahulu pada jam 10.50 malam semalam, hanya 1,407 mangsa (334 keluarga) dari 14 yang dilaporkan telah dipindahkan ke pusat pemindahan.
Kampung-kampung yang terjejas adalah; Kampung Simpok, Kampung Tengah Sungai, Kampung Bawang, Kampung Batu Kitang, Kampung Kerumboi (Siburan), Kampung Sinjok (Siburan), Giam Baru, Kampung Mundai, Rantau Panjang, Landeh, Beradek, Maang (Padawan), Astana lot (Depan Pawada), Kampung Jambu dan Desawira.
Mangsa-mangsa banjir telah di tempatkan di pusat pemindahan di SK St. Peter, SJK Chung Hua, Gereja Kampung Bawang, Dewan Serbaguna Batu Lintang Raya, Balairaya Kampung Kerumboi, Balai Raya Kampung Mundai, Kedai tepi Jambatan Batu Kawa, Surau Kampung Landeh, SK Beradek, Balairaya Kampung Maang, Dewan Bahasa Pustaka (DBP), Balairaya Kampung Jambu, Dewan Masyarakat Stapok Stephen Yong dan rumah-rumah saudara-mara mangsa.
Jumlah mangsa yang dipindahkan dijangka akan meningkat hari ini berikutan hujan lebat yang turun tiada hentinya dari semalam ditambah dengan fenomena air pasang besar atau ‘king tide’ bermula 19 Januari (hari ini) hingga 26 Januari.
Menurut Kalendar Tahunan Kerajaan Negeri, negeri ini akan mengalami air pasang setinggi 5.7 meter hari ini diikuti enam meter pada hari berikutnya dengan paras paling tinggi dijangka 6.3 meter pada 22 dan 23 Januari.
Air pasang pada hari Rabu hingga Sabtu dijangka setinggi 6.2 meter dan pada 26 Januari air pasang besar dijangka 5.7 meter. - Sarawakiana
Jumlah Mangsa Banjir Dipindahkan Ke Pusat Pemindahan Kuching/Siburan/Padawan Meningkat
Reviewed by Salfian Nawawi
on
January 19, 2015
Rating:
No comments: