KUCHING: Menteri Pelancongan dan Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg khuatir kawasan Satok akan terjejas teruk sekiranya hujan turun tanpa henti dalam tempoh seminggu lagi.
Kata beliau, setakat semalam pihaknya telah menasihati empat pemilik rumah di Kampung Kudei Lama untuk berpindah ke tingkat atas rumah kerana rumah mereka dimasuki air.
“Saya telah melihat beberapa kawasan di Kampung Kudei dan kawasan berdekatan tebing Sungai Sarawak dan nampak air telah naik dengan mendadak dan beberapa rumah di kampung ini telah dinaiki air."
“Mereka telah dinasihati untuk berpindah ke bahagian atas rumah kerana di bahagian bawahnya dinaiki air dan sekiranya esok (hari ini) atau lusa (esok) menghadapi kejadian air pasang besar di Sungai Sarawak,” katanya ketika melawat kawasan dinaiki air di Kampung Kudei Lama di sini semalam.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok berkata kemungkinan besar, banjir besar akan melanda kawasan-kawasan tersebut dan mahu rakyat dalam keadaan bersiap sedia dipindahkan pada bila-bila masa.
Pihaknya telah menyediakan beberapa perahu untuk proses perpindahan ke pusat-pusat perpindahan yang telah dikenal pasti oleh jawatankuasa bertindak.
Ujarnya lagi, sekiranya hujan masih berterusan, lebih banyak rumah kawasan Kampung Segedup dan kampung-kampung berdekatan Matang akan mengalami nasib yang sama.
“Saya minta masyarakat bersedia dengan banjir ini dan keduanya untuk memantau anak-anak agar tidak bermain air untuk mengelak terkena jangkitan penyakit.
“Masyarakat juga tolong pantau kenaikan air terutama dengan kehadiran air pasang besar,” jelasnya.
Pusat pemindahan mangsa banjir untuk kawasan Kuching ialah di Dewan Suarah Kuching, Sekolah, Dewan Merpati Jepang dan PBSM Jalan Muda Hashim. - UB
Satok Akan Terjejas Teruk Jika Hujan Turun Tanpa Henti
Reviewed by Salfian Nawawi
on
January 19, 2015
Rating:
No comments: