KUALA LUMPUR: Datuk Ong
Kim Swee hampir pasti melepaskan tugas sebagai jurulatih Harimau Muda A dengan
Sabah dikatakan menjadi destinasi terbarunya apabila pasukan Liga Perdana itu
bersedia menebus kontraknya bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bernilai
hampir RM500,000.
Menurut sumber rapat
dengan pengendali itu, keputusan rasmi belum dibuat kerana masih di peringkat
perbincangan, namun difahamkan Kim Swee bersedia menerima tawaran itu demi
kariernya.
“Saya dimaklumkan Kim
Swee akan berbincang dengan pihak tertinggi FAM dalam masa terdekat untuk
menentukan kedudukannya sebagai jurulatih Harimau Muda A. Mungkin paling lewat
minggu depan keputusan akan diketahui.
“Saya percaya keputusan
Kim Swee itu bukan atas dasar tawaran gaji lebih besar, tapi beliau mahukan
cabaran baru kerana masa depannya di FAM tidak menentu. Saya cukup mengenali
dirinya, beliau boleh duduk senang makan gaji di FAM, tapi bukan itu yang
dicari. Beliau mahu melatih pasukan dan mahukan cabaran baru,” katanya ketika
ditemui Arena Metro semalam.
Keputusan Kim Swee, 44,
yang sudah bersama FAM selama 10 tahun untuk berpindah bukan sesuatu
mengejutkan berikutan tindakan badan induk itu membuat keputusan drastik dengan
menyerahkan tugas membimbing skuad bawah 22 tahun (B-22) negara ke kelayakan
AFC B-23 Mac ini kepada jurulatih Harimau Muda B Razip Ismail.
Kim Swee pula diarahkan
menjalankan tugas sebagai pencari bakat, mencari pemain untuk diserapkan ke
dalam skuad Sukan SEA di Singapura pada Jun yang hanya akan bersamanya kurang
sebulan sebelum temasya itu bermula.
Sumber itu berkata, Kim
Swee yang pernah menyarung jersi Sabah pada 1994-1998 menghormati kontraknya
bersama FAM yang bakal berakhir Disember ini, kerana itu beliau tidak mahu membuat
sebarang keputusan membelakangkan badan induk itu.
“Saya fikir tidak ada
masalah untuk Sabah menebus kontrak itu jika FAM benar-benar mahu melepaskan
Kim Swee. Mungkin ramai yang mempersoal keputusannya untuk menyertai Sabah,
tapi mungkin Kim Swee ada alasan kuat.
“Mungkin kerana visi
pasukan itu yang kini dalam usaha membentuk kembali pasukan Sabah, tapi yang
pasti beliau perlukan cabaran baru demi kariernya. Jika masih terus di FAM,
beliau seperti tidak akan ke mana,” jelasnya.
Kim Swee sudah membuktikan
sentuhannya bersama Harimau Muda A apabila memenangi pingat emas Sukan SEA
Jakarta 2011, Pestabola Merdeka 2013, Liga Perdana 2009 serta berjaya menggilap
ramai pemain muda seperti Mohd Fadhli Shas, Wan Zack Haikal Wan Noor, Wan
Zaharulnizam Zakaria, Mohd Nazmi Faiz Mansor, Irfan Fazail dan Gary Steven
Robbat.
Pengendali dari Melaka
itu juga pernah menjadi jurulatih sementara Harimau Malaya pada awal 2014 dan
prestasinya tidak mengecewakan apabila membantu kemenangan 2-1 ke atas Yaman
dalam perlawanan terakhir Piala Asia serta seri dua kali dengan pasukan di
ranking paling tinggi Asia Tenggara, Filipina. -
HMetro
Kim Swee Hampir Pasti Melepaskan Tugasnya
Reviewed by JANUARIUS
on
January 15, 2015
Rating:
No comments: