KUCHING: Penduduk yang tinggal di kawasan rendah sekitar bandar
raya ini diminta sentiasa berwaspada dan bersedia menghadapi bencana banjir.
Ini berikutan hujan lebat yang turun sejak kelmarin sekiranya
berlarutan boleh menyebabkan banjir kilat berlaku di kawasan kediaman mereka.
Tinjauan Utusan Borneo di Kampung Sinar Budi Baru dan Kampung
Tabuan Dayak di sini semalam mendapati paras air di sungai dan longkang di
perkampungan berkenaan semakin meningkat.
Ketua Kaum Kampung Sinar Budi Baru Arpan Husaini berkata, hujan
turun sejak kelmarin itu merunsingkan mereka yang tinggal di kawasan yang
rendah kerana berkemungkinan akan berlaku banjir.
Namun, aktiviti gotong-royong membersihkan parit dan longkang yang
dilaksanakan penduduk pada Sabtu lalu dilihat berjaya membendung masalah banjir
kilat yang kebiasaannya berlaku sekiranya hujan turun seperti semalam.
“Kebiasaannya, banjir kilat sudah berlaku di kampung kami ini
walaupun sehari hujan tidak berhenti seperti tahun lalu, kerana sebelum ini
kami tidak bersedia seperti yang kami lakukan tahun ini.
“Namun begitu, kita tidak boleh berasa selesa kerana sekiranya
hujan tetap berterusan Sungai Maong Kecil yang terletak di kampung ini tidak
dapat menampung aliran air dari kawasan perumahan serta komersial yang tertumpu
di situ (satu saliran),” ujarnya.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai persediaan lain menghadapi
banjir di kampung itu, Arpan memberitahu bahawa pihaknya telah menubuhkan
sebuah jawatankuasa bencana.
“Di sini kita telah sediakan dewan dengan kemudahan pemindahan
sekiranya berlaku banjir manakala daripada aspek bantuan seperti keperluan di
pusat pemindahan seperti makanan dan minuman juga telah kita sediakan,”
katanya.
Justeru, beliau menasihati penduduk Kampung Sinar Budi Baru
termasuk penduduk yang berada di kawasan rendah agar bersiap sedia mulai
sekarang.
“Pastikan dokumen penting disimpan dengan kemas dan jangan
ditinggalkan sekiranya terpaksa berpindah ke tempat pemindahan.
“Selain itu, semua penduduk perlu bekerjasama dan tidak
mengharapkan satu pihak sahaja dalam menghadapi situasi banjir,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Arpan berkata pihaknya berharap Majlis
Perbandaran Padawan (MPP) dan Pejabat Daerah Kuching dapat meluluskan
permohonan membina longkang konkrit di kampung itu.
“Dengan adanya longkang konkrit menggantikan parit di kampung itu
dapat melancarkan aliran air ke sungai.
“Selain itu, pembinaan longkang konkrit dapat mengurangkan
aktiviti mengorek parit setiap masa akibat tersumbat dengan pokok atau sampah
termasuk dinding parit yang runtuh,” katanya. - UB
Warga Kuching Diminta Bersedia Hadapi Bencana Banjir
Reviewed by JANUARIUS
on
January 15, 2015
Rating:
No comments: