KUCHING: Jabatan Hutan Sarawak mencatatkan satu lagi kejayaan besar apabila berjaya merampas 4,552 batang balak pelbagai saiz dan spesis bernilai lebih setengah juta ringgit di Sri Aman dan Tanjung Manis minggu lepas.
Jabatan itu dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, bertindak atas maklumat orang ramai, Jumaat lepas sepasukan anggota penguatkuasa dari Pejabat Hutan Bahagian Sri Aman menemui 2,552 balak yang dianggar bernilai RM500,000 disembunyikan di sebuah ladang kelapa sawit di Engkeramut, Sri Aman, kira-kira 200km dari sini.
Menurutnya balak-balak yang ditebang sekitar dua bulan lepas itu didapati tidak mempunyai dokumentasi yang sah, dan ia dipercayai tidak dapat dikeluarkan kerana pembalak bimbang dengan aktiviti penguatkuasaan yang ditingkatkan sejak kebelakangan ini.
Katanya sehari sebelum itu dalam dalam satu operasi di sebuah kilang papan di Tanjung Manis (sekitar 330km dari Kuching), Jabatan Hutan Sarawak dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Kastam serta Lembaga Sungai-Sungai Sarawak berjaya merampas 2,000 batang balak yang telah dipotong pendek.
"Ia dipercayai untuk membuat papan lapis. Bagaimanapun nilai rampasan masih belum dapat dipastikan sehingga siasatan lanjut selesai dilaksanakan," menurut kenyataan itu.
Kertas siasatan bagi kedua-dua kes sudah dibuka, namun sehingga kini tiada tangkapan dibuat.- BERNAMA
Lebih Setengah Juta Batang Balak Dirampas Di Sarawak
Reviewed by Unknown
on
January 27, 2015
Rating:
No comments: