JAKARTA: Malaysia
diberi penghormatan oleh Republik Indonesia apabila Presiden Jokowi memilih
negara itu sebagai yang pertama untuk lawatan rasmi luar negaranya.
Joko Widodo atau
lebih dikenali sebagai Jokowi akan berada di Malaysia selama dua hari bermula 5
Februari depan sebelum dijadual melawat negara Brunei Darussalam.
Duta Besar
Malaysia ke Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata, dalam lawatan
rasmi berkenaan, Presiden Indonesia itu dijadual mengadakan perbincangan dua
hala dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Presiden
Jokowi juga dijadual melawat kilang Proton setelah Datuk Seri Najib pernah
membangkitkan cadangan mengenai projek kereta Asean dalam pertemuannya ketika
Jokowi mengangkat sumpah sebagai Presiden Indonesia hujung tahun lepas,"
katanya kepada wartawan di sini hari ini.
Jokowi setakat ini
belum mengadakan sebarang lawatan rasmi ke luar negara sejak beliau dilantik
sebagai Presiden yang baharu pada Pemilihan Umum tahun lepas kecuali menghadiri
persidangan-persidangan antarabangsa termasuk Sidang Kerjasama Ekonomi Asia
Pasifik di Beijing pada November lepas.
Dalam perkembangan
lain, Zahrain mengingatkan golongan nelayan dari Malaysia agar tidak
sekali-kali menceroboh masuk ke kawasan perairan Indonesia ekoran penguatkuasaan
undang-undang yang lebih serius sekarang.
Katanya tindakan
pihak berkuasa Indonesia yang menenggelamkan bot-bot nelayan Malaysia kerana
menceroboh kawasan perairan negara itu adalah di bawah bidang kuasa mereka dan
ia menunjukkan keseriusan kerajaan negara itu dalam melaksanakan undang-undang
serta menjaga kedaulatan negara mereka.
"Sama seperti
di Malaysia, kita juga mengambil tindakan terhadap mana-mana bot asing yang
menceroboh kawasan peraiaran negara dan mengambil tindakan undang-undang,"
kata beliau.
Beliau berkata isu
mengambil tindakan terhadap bot dan nelayan yang menceroboh tidak seharusnya
disensasikan media kerana ia adalah perkara biasa selagi pihak berkuasa
sesebuah negara bertindak mengikut lunas undang-undang masing-masing.
Zahrain bagaimanapun
meminta pihak berkuasa Indonesia agar menghubungi pihak kedutaan terlebih
dahulu sebelum sesuatu tindakan diambil kerana ia adalah prosedur biasa supaya
pihak kedutaan mendapat maklumat mengenainya.
Dalam kejadian
tiga hari lepas, polis Indonesia bertindak menenggelamkan sebuah kapal nelayan
milik rakyat Malaysia kerana didapati menjalankan aktiviti penangkapan ikan
secara haram di kawasan perairan Pandan Islet, Sumatera Utara.
Laman web Jakarta
Post melaporkan kapal berkenaan yang menggunakan nombor pendaftaran PKFA 7738
diletupkan dengan menggunakan dinamit.
Sebelum ini, pihak
berkuasa Pulau Riau bertindak membakar beberapa buah kapal nelayan haram yang
memasuki perairan Indonesia untuk menangkap ikan. - BERNAMA
Malaysia Negara Pertama Dipilih Jokowi
Reviewed by MRJ | Mr. Januarius Tomek
on
January 13, 2015
Rating:
Reviewed by MRJ | Mr. Januarius Tomek
on
January 13, 2015
Rating:

No comments: