Seo Services

Patuhi Larangan Bermain Mercun/Bunga Api - Pesuruhjaya Polis Sarawak


KUCHING: Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman mengingatkan orang ramai supaya mematuhi larangan bermain mercun dan bunga api sempena Tahun Baharu Cina ini atas faktor keselamatan.

Malah menurut Sabtu, kesalahan bermain mercun boleh dipenjara tidak melebihi satu bulan atau didenda sehingga RM100 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 3 (5), Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

Dalam perkembangan berkaitan, Sabtu juga mengingatkan bahawa mengilang, memiliki dan mengimport mercun dan bunga api tanpa lesen merupakan satu kesalahan dan boleh didakwa mengikut Seksyen 4 (2), Akta Bahan Letupan 1957.

Jika disabit kesalahan, individu terbabit boleh dihukum penjara lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

“Larangan bermain mercun dan bunga api masih kekal sejak 1995 dan seperti yang telah saya jelaskan, kesalahan bermain mercun dan bunga api boleh didenda mengikut akta yang berkaitan.

“Setakat ini kerajaan hanya memberi kelulusan untuk ‘Happy Boom’ dan ‘Magic Pop’ kerana tidak mengandungi bahan membakar dan tidak membahayakan,” tegasnya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Kontinjen Sarawak di Padang Kawad IPK di sini, semalam.

Terdahulu dalam ucapan sempena perhimpunan tersebut, Sabtu berkata secara keseluruhannya, keselamatan dalam negeri berjaya dikekalkan sehingga membolehkan kegiatan ekonomi berjalan lancar dan mencatat kadar pertumbuhan yang memberangsangkan.

Setiap ketua polis daerah, ketua polis balai dan semua warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) harus ‘Put On Your Thinking Cap’ untuk mencari dan menghasilkan pendekatan baharu dan inovatif bagi menurunkan jenayah supaya negeri selamat.

“Dalam usaha kita mentransformasikan landskap ini, usaha kita mestilah lebih kreatif dan inovatif dengan kaedah yang lebih berkesan, saintifik dan berdaya saing dalam menghadapi cabaran ini,” katanya.

Mengulas mengenai perhimpunan itu, Sabtu berkata perbarisan pada pagi itu bukanlah hanya satu perbarisan semata-mata tetapi pengisian atur cara yang merangkumi lafaz ikrar, nyanyian lagu polis dan penyampaian sijil-sijil penghargaan yang perlu dihayati oleh setiap peringkat pegawai dan anggota.

Oleh itu katanya, majlis berkenaan perlu dilihat sebagai arena untuk menerapkan nilai-nilai yang dapat membentuk kekuatan spiritual dan mental yang kental terutama dalam membentuk peribadi yang mulia, taat setia serta produktif ketika melaksanakan tugas yang telah diamanahkan.

Pada perhimpunan itu semalam, Sabtu turut menyampaikan surat penghargaan kepada 26 anggota pelbagai pangkat dan lima pegawai awam yang berkhidmat cemerlang kepada polis.

Turut hadir, Ketua Jabatan Pengurusan IPK Sarawak SAC Datuk Jasmani Yusoff, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah IPK SAC Datuk Pahlawan Zulkifli Hassan dan Pemangku Ketua Cawangan Khas IPK ACP Mohamad Morshidi Mustapha. - UB
Patuhi Larangan Bermain Mercun/Bunga Api - Pesuruhjaya Polis Sarawak Patuhi Larangan Bermain Mercun/Bunga Api - Pesuruhjaya Polis Sarawak Reviewed by Salfian Nawawi on January 30, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.