MIRI: Seorang lelaki warga asing dijatuhi hukuman penjara 72 tahun empat bulan dan 22 sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini pagi semalam setelah mengaku bersalah atas empat tuduhan merogol seorang anak jiran berusia 11 tahun dan masuk ke negeri ini secara haram.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk tujuan pengusiran sebaik selesai menjalani hukuman penjara.
Hukuman itu dijatuhkan Hakim Marutin Pagan setelah menimbangkan beberapa faktor termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan dilakukannya dan mengambil kira kepentingan awam.
Ketika membacakan keputusannya, Marutin berkata tertuduh melakukan kesalahan serius dan wajar dikenakan hukuman setimpal.
Katanya, hukuman dikenakan ke atas tertuduh diharap dapat dijadikan pengajaran buat tertuduh serta orang awam lain agar tidak melakukan kesalahan serupa.
Mohammad Haznal Fauzi Sumardi, 39, dari Jawa Tengah, Indonesia didakwa atas empat tuduhan mengikut Seksyen 376 (2) (b) Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tidak kurang dari lima tahun dan tidak melebihi 30 tahun serta boleh didenda jika sabit kesalahan.
Berdasarkan tuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh merogol seorang budak perempuan berusia 11 tahun.
Ketiga-tiga kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh suatu hari masing-masing pada Januari, Julai dan November tahun lalu sebuah rumah di Marudi.
Manakala dalam tuduhan keempat, tertuduh sekali lagi melakukan perbuatan terkutuk terhadap mangsa yang sama.
Kesalahan itu didakwa dilakukannya antara jam 11 hingga 11.30 malam, 21 Disember tahun lalu di sebuah rumah di Marudi.
Selain itu, tertuduh turut menghadapi satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan dihukum di bawah Seksyen 6 (3) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali serta boleh disebat sehingga enam kali.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu jam 5 petang, pada 30 Disember tahun lalu di sebuah bilik sewa di Jalan Mawar, Kampung Cina di sini.
Bagi kesalahan merogol, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 18 tahun dan lima sebatan bagi setiap tuduhan dihadapi.
Manakala bagi kesalahan masuk haram, tertuduh dijatuhi hukuman penjara empat bulan dan dua sebatan.
Mahkamah memerintahkan semua hukuman itu dijalani tertuduh secara berasingan. -UB
Rogol: Lelaki Warga Asing Dipenjara 72 Tahun, 22 Sebat
Reviewed by Salfian Nawawi
on
January 15, 2015
Rating:
Reviewed by Salfian Nawawi
on
January 15, 2015
Rating:
.jpg)
No comments: