KUCHING: Sarawak bakal mewujudkan kerjasama dengan Hungary dalam bidang pendidikan terutama berkaitan teknikal melalui biasiswa yang ditawarkan oleh negara itu.
Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, ia antara bidang yang akan diteliti bersama negara itu yang juga bakal mewujudkan kedutaan mereka di Kuala Lumpur pada Mac depan.
“Mereka (Hungary) bakal mewujudkan kedutaan mereka di Kuala Lumpur dan salah satu bidang yang akan mereka tekankan ialah bidang pendidikan dengan menawarkan biasiswa kepada pelajar Malaysia untuk be-lajar di sana.
“Mereka menawarkan biasiswa kepada mereka yang layak bagi Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana dalam beberapa kursus dengan lebih 30 pelajar Malaysia sebagai permulaan,” ujarnya.
Sehubungan itu, katanya, Sarawak akan membida untuk mendapatkan kira-kira 10 pelajar dari negeri ini bagi biasiswa berkenaan.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menerima kunjungan daripada Jawatankuasa Hubungan Luar Parlimen Hungary yang diketuai Pengerusinya Zolt Nemeth di pejabat beliau di Wisma Sultan Tengah di sini, semalam.
Abang Johari berkata, Sarawak akan meneliti dari segi pendidikan teknikal memandangkan Hungary terkenal dengan kepakaran dalam bidang sains termasuk jentera berat.
“Saya akan melihat perkara ini melalui tawaran mereka itu dan ia bertepatan pada masanya kerana kita kini sedang melatih tenaga kerja dalam bidang teknikal,” tegasnya sambil memberitahu Hungary turut menggunakan bahasa Inggeris sebagai perhubungan bagi memudahkan pelajar Malaysia.
Mengulas mengenai bidang lain yang berpotensi untuk diteliti, katanya, ia berkaitan dengan pembangunan semula bandar raya di negeri ini khasnya Kuching.
Tambahan, kata beliau yang juga Menteri Perumahan, situasi bandar raya Kuching hampir sama dengan Budapest, iaitu ibu negara Hungary kerana masing-masing dibahagikan oleh tebingan sungai.
Sebagai permulaan, katanya, kerajaan merancang untuk menghantar datuk-datuk bandar pihak berkuasa tempatan ke Budapest bagi mengkaji dan mempelajari pembangunan yang ada di sana.
Abang Johari memberitahu, kunjungan rombongan Hungary itu ekoran lawatan beliau bersama rombongan ke negara itu pada penghujung November tahun lepas.
Delegasi Hungary semalam turut mengadakan kunjungan ke atas Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar. - UB
Sarawak, Hungary Wujud Kerjasama Pendidikan
Reviewed by Salfian Nawawi
on
January 17, 2015
Rating:
No comments: