KUCHING: Seramai 10,000 anggota tentera dan 6,000 Askar Wataniah
akan dikerahkan untuk tugas menyelamat mangsa jika berlaku banjir di negeri
ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak Datuk
Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang berkata sokongan daripada tentera itu
menjadikan jumlah anggota penyelamat daripada pelbagai agensi adalah mencukupi
bagi persiapan negeri ini menghadapi banjir.
Antaranya ialah polis, bomba, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia
(JPAM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Kesihatan.
“Walaupun Jabatan Meteorologi menjangka tidak akan berlaku banjir
serius di negeri ini, tetapi memandangkan musim hujan dijangka berlarutan
sehingga Mac maka persiapan rapi perlu dilakukan bagi menghadapi sebarang
kemungkinan banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan
Taklimat Pengurusan Bencana Banjir Negeri Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, Petra
Jaya di sini semalam.
Manakala Panglima Markas Satu Divisyen Mejar Jeneral Datuk Stephen
Mundaw menambah bantuan anggota tentera dari Sabah akan turut dikerahkan
sekiranya banjir melanda bahagian Lawas dan Limbang.
Dalam pada itu, katanya setakat ini anggota-anggota Askar Wataniah
juga sudah ditempatkan di beberapa kawasan yang dijangka dilanda banjir.
Jabu kemudian berkata sebanyak 600 pusat pemindahan sudah dikenal
pasti selain beberapa pangkalan hadapan di kawasan-kawasan strategik di setiap
daerah di negeri ini untuk menyimpan bekalan makanan dan keperluan lain.
“Sebanyak 180 pembekal makanan dan barang keperluan lain
juga sudah dilantik di seluruh negeri bagi membekalkan bahan tersebut kepada
mangsa banjir di pusat pemindahan melalui pangkalan hadapan,” katanya.
Selain itu, Jabu berkata pihaknya juga akan membekalkan jaket
keselamatan di kesemua 31 daerah di seluruh negeri ini secepat mungkin untuk
kegunaan pihak sukarela yang membantu dalam usaha menyelamat mangsa banjir.
Sementara, taklimat pengurusan bencana negeri Sarawak semalam
telah diadakan khas kepada Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)
daripada Barisan Nasional (BN) di Sarawak.
Taklimat yang diberikan meliputi perkara-perkara seperti mekanisme
pengurusan bencana, struktur pengurusan bencana dan kesiapsiagaan aset serta
anggota dalam tindak balas pengurusan bencana di Sarawak.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad
Morshidi Abdul Ghani dan Setiausaha Persekutuan Sarawak Datuk Md Yahaya
Basimin. - UB
Sebanyak 600 Pusat Pemindahan Sudah Dikenal Pasti
Reviewed by MRJ | Mr. Januarius Tomek
on
January 13, 2015
Rating:
Reviewed by MRJ | Mr. Januarius Tomek
on
January 13, 2015
Rating:

No comments: