SRI AMAN: Tahap pembangunan rakyat yang tinggal di luar bandar
mampu dipertingkatkan lagi dengan adanya usaha persempadanan semula kawasan
pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Pandangan itu disuarakan Menteri Muda Pertanian Datuk Mong Dagang
dan Ahli Parlimen Sri Aman Masir Kujat pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di
Ran Ili, Sri Aman petang semalam.
Menurut Mong, apabila sesebuah kerusi Dewan Undangan Negeri baharu
diwujudkan ia akan dapat berfungsi menyuntik banyak manfaat kepada rakyat yang
tinggal di kawasan terbabit.
“Saya yakin, tahap pembangunan anda (rakyat) di DUN baharu ini
akan dapat dipertingkatkan dengan kehadiran lebih ramai wakil rakyat bertugas
untuk memajukan kawasan anda nanti,” katanya.
Dalam perkembangan yang sama, Mong yang juga naib presiden Parti
Rakyat Sarawak (PRS) berharap parti mereka dapat diberikan dua daripada 11
kerusi tambahan baharu yang dilakukan menerusi persempadanan semula tersebut.
“Lagi pun PRS adalah sebuah parti luar bandar maka sememangnya
amat berminat dengan mana-mana kawasan DUN baharu yang mampu dimenangi PRS
kelak,” katanya.
Sementara itu kata Masir, persempadanan semula kawasan pilihan
raya ini akan dapat memberi manfaat dari segi pentadbiran dan susur atur
pembangunan di DUN baharu itu nanti.
Kelebihan ini akan lebih tampak ketara sekiranya wakil rakyat
Barisan Nasional (BN) memenangi lebih banyak kerusi DUN atau Parlimen di kerusi
yang baharu diwujudkan itu, kata beliau.
“Selain mengeratkan lagi hubungan antara ADUN dan Ahli Parlimen
dalam sesebuah kawasan baharu tersebut, usaha ini juga dilihat akan lebih
menguatkan lagi jentera pembangunan BN di kawasan tersebut,” kata Masir. - UB
Tambahan DUN Tingkat Tahap Pembangunan Rakyat
Reviewed by MRJ | Mr. Januarius Tomek
on
January 14, 2015
Rating:
Reviewed by MRJ | Mr. Januarius Tomek
on
January 14, 2015
Rating:

No comments: