JULAU: Tuai-tuai Rumah diminta kerap mengunjungi jabatan dan
agensi kerajaan bagi meneliti perkembangan pembangunan dan bantuan yang dipohon
penduduknya.
Ahli Parlimen Julau Datuk Joseph Salang Gandum berkata mereka
tidak perlu menunggu wakil-wakil rakyat datang ke rumah panjang baharu hendak
menyuarakan keperluan penduduk.
“Sebagai contoh, pihak berkuasa pertanian lada kini adalah Lembaga
Lada Malaysia (LLM) dan tidak lagi di bawah Jabatan Pertanian negeri ini,”
katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Mengiring Masil di Lepong
Bilat, Hulu Mujok di sini kelmarin.
Terdahulu, seorang tuai rumah kawasan tersebut berkata mereka
hanya mendapat dua beg baja apabila pergi ke jabatan terbabit untuk mendapatkan
bantuan.
Majlis tersebut dirasmikan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar
dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi.
Salang yang juga pengerusi Majlis Penasihat 1Malaysia Sarawak
(1MSAC) berkata, jalan menghubungkan rumah panjang di Hulu Mujok akan dibina
selepas projek Jalan Hulu Kanowit siap dibina.
Beliau berkata projek itu kini sedang dalam proses untuk
dilaksanakan.
“Jangan terpengaruh dengan tuduhan bahawa saya tidak mahu ada
jalan dibina ke Hulu Mujok seperti didakwa sesetengah pihak.
“Saya juga mengalu-alukan jika pihak tertentu mahu membina jalan
ke Hulu Mujok dari Nanga Meluan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata pihak tertentu tidak
sepatutnya berasa tidak senang hati melihat individu tertentu sering
mengiringinya atau mengikuti semasa lawatan ke sini.
“Ini kerana saya masih lagi wakil rakyat Barisan Nasional (BN)
walaupun tidak lagi menjadi timbalan menteri,” katanya.
Setibanya rombongan di rumah panjang tersebut, Nanta dan Salang
merasmikan projek bekalan air paip bagi rumah panjang 24 pintu itu.
Nanta kemudian melancarkan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB)
Ranting Hulu Mujok diketuai Pengerusi Protemnya Bantan Kapi.
Hadir sama Pemanca Janggu Banyang, Pengerusi PBB Cawangan Meluan
Kaunselor Paulus Banyang, Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Julau merangkap
penyelaras Parlimen Julau Sylvester Embuas dan Pengerusi Parti Demokratik
Progresif Sarawak (SPDP) Meluan Belayong Jampong. - UB
Tuai-Tuai Rumah Diminta Kerap Mengunjungi Jabatan Dan Agensi Kerajaan
Reviewed by MRJ | Mr. Januarius Tomek
on
January 26, 2015
Rating:

No comments: