Seo Services

DUBS Sokong Penubuhan Majlis Minyak Dan Gas Sarawak

KUCHING, 9 Feb (Bernama) -- Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) menyokong penubuhan Majlis Minyak dan Gas Sarawak bagi meningkatkan penyertaan tempatan dalam industri minyak dan gas dan berharap seorang wakil daripada dewan itu dipilih.

Presidennya, Datu Abang Halmi Ikhwan berkata, adalah penting dewan itu dibabitkan dalam industri berkenaan, 'jika tidak, mereka tidak akan tahu pendapat umum di peringkat bawah.'

Beliau mengakui walaupun hanya sebilangan kecil syarikat Bumiputera mempunyai sumber, tenaga atau kewangan untuk berjaya dalam sektor itu, bilangan mereka perlu ditingkatkan.

"Kami mahu melihat lebih banyak perusahaan lebih kecil terbabit, kerana apabila kita bercakap mengenai PKS, perusahaan sederhana tidak mempunyai masalah terlibat dalam industri ini.

"Tetapi kami mahu menggalakkan perusahaan kecil menyertai industri ini. Dalam hal ini Petronas perlu memainkan peranan penting," katanya di pejabat DUBS di sini, Isnin.

Abang Halmi berkata, DUBS menyokong kepemimpinan sekarang dan pasukan pengurusan Petronas yang diketuai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas, kerana negara telah melihat kesan positif di segi pembangunan minyak dan gas serta peluang di Malaysia amnya dan Sarawak khususnya.

Minggu lepas, Menteri Muda Pembangunan Perindustrian Sarawak (Pelaburan dan Promosi) Datuk Julaihi Narawi, di 'Seminar Peluang Perniagaan Dalam Industri Minyak dan Gas Sarawak', mencadangkan penubuhan majlis itu dan diletakkan di bawah kementeriannya.

Selain itu, Abang Halmi menggesa Petronas mendirikan kemudahan latihan di Sarawak, sama seperti dicadangkan di Kimanis, Sabah.

"Bintulu adalah pusat industri minyak dan gas yang penting negara dan bagi meningkatkan kapasiti kontraktor kita, adalah sangat penting pekerja menerima latihan secukupnya.

"Sudah pasti kita di Sarawak juga memerlukannya kerana kita mempunyai kepentingan besar dalam minyak dan gas," katanya.

Disoal mengenai keadaan ekonomi negeri berikutan kejatuhan harga minyak, Abang Halmi berkata, pada masa lepas Sarawak amat bergantung kepada minyak dan gas, tetapi bajet negeri baru-baru ini menunjukkan yang ekonomi lebih pelbagai.

"Tentunya pendapatan minyak dan gas masih tinggi, tetapi saya dapati mereka memperolehi pendapatan yang banyak daripada sumber lain seperti kelapa sawit, perhutanan dan pelaburan.

"Anda boleh lihat kerajaan negeri melakukan kerja yang baik dalam pelaburan dan tidak banyak negeri yang setanding kejayaan kita di segi pelaburan," tambahnya.

-- BERNAMA
DUBS Sokong Penubuhan Majlis Minyak Dan Gas Sarawak DUBS Sokong Penubuhan Majlis Minyak Dan Gas Sarawak Reviewed by Admin on February 09, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.