Seo Services

Jabu Ajak Penduduk Berbilang Kaum, Agama Di Betong Utamakan Perpaduan


KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang mengajak penduduk berbilang kaum dan agama di Betong mengutamakan perpaduan bagi memastikan pembangunan di bahagian itu dapat diteruskan.

Menurutnya, penduduk Betong telah menikmati pelbagai kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik dan hubungan jalan raya pada hari ini berkat hubungan harmoni masyarakatnya.

“Mengimbau kembali sejarah Betong pada tahun 1974, pembangunan bukanlah satu perkara mudah dicapai dan semua kemudahan asas masih belum ada.

“Namun kini, kehidupan penduduk di Betong jauh lebih maju serta membangun dan untuk itu rakyat khasnya generasi hari ini wajar bersyukur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Mendirikan Tiang Asas (Tiang Pemun) Rumah Panjang Baharu di Rumah Baling Angie di Kampung Penurin, Betong, kelmarin.

Jabu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar berkata, penduduk di kawasan Betong juga telah menerima pelbagai projek perladangan seperti getah dan kelapa sawit untuk membolehkan mereka mengusahakan projek tersebut di tanah masing-masing.

Selain kemudahan asas, pembangunan sekolah juga tidak ketinggalan bagi memudahkan penduduk menghantar anak-anak mereka ke sekolah.

“Di Betong kita memiliki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Patinggi Kedit, Sekolah Menengah Teknik Betong, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Betong dan banyak lagi bagi memastikan anak mendapat pendidikan.

“Bersebelahan dengan sekolah ini turut dibina Hospital Betong bagi memudahkan pelajar serta penduduk mendapatkan rawatan,” jelasnya.

Menurut Jabu, kesemua kemudahan yang dibina adalah untuk memberi kemudahan kepada rakyat di kawasan Betong agar dapat menikmati kehidupan lebih selesa dan selaras dengan sasaran pembangunan tampuk kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) iaitu membangunkan kawasan luar bandar.

Turut hadir Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Timbalan Residen Bahagian Betong (Bahagian Pembangunan) Jalung Luang, Pegawai Daerah Betong Friday Belik, Ketua Masyarakat Iban Betong Temenggung Nunong Dandan dan Tuai Rumah Baling Angie. - UB
Jabu Ajak Penduduk Berbilang Kaum, Agama Di Betong Utamakan Perpaduan Jabu Ajak Penduduk Berbilang Kaum, Agama Di Betong Utamakan Perpaduan  Reviewed by uMieySurianie on February 23, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.