Seo Services

Kuching Hos Anugerah Dan Festival Filem Antarabangsa Asean Kali Kedua

KUCHING, 16 Feb (Bernama) -- Sarawak akan menjadi tuan rumah bagi Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa Asean (AIFFA) 2015 untuk kali kedua tahun ini selepas menjadi hos pada 2013.

Acara dwitahunan yang akan berlangsung dari 9 hingga 11 April itu menampilkan selebriti terkenal, tayangan filem, rangkaian perniagaan ke perniagaan dengan dihadiri media-media utama.

"Sarawak berbangga kerana sekali lagi dipilih oleh kerajaan dan pemimpin Asean sebagai lokasi bagi acara ini," kata Menteri Perumahan dan Pelancongan Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Pelancongan Sarawak di sini hari ini.

Beliau berkata festival itu secara rasmi telah direstui oleh Sekretariat ASEAN, kerajaan Malaysia dan kerajaan negeri sebagai Pesta Filem bagi rantau ini.

Abang Johari berkata, festival itu akan mengetengahkan filem-filem terbaik, kerjasama terbaik dan persembahan bakat terbaik yang menjadi kebanggaan Asean.

Pelakon antarabangsa kelahiran Malaysia Tan Sri Michelle Yeoh meraih Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat pertama AIFFA semasa AIFFA 2013.

Untuk festival tahun ini, Abang Johari berkata penyertaan 50 filem ASEAN telah diterima dan filem-filem ini akan diadili para juri dari negara ASEAN diketuai U-Wei Saari, pengarah filem tersohor Malaysia yang pernah menggondol anugerah dan juga wakil dari India.

Abang Johari berkata 150 pengeluar filem ASEAN dan antarabangsa akan menghadiri festival itu selain 200 selebriti dari Malaysia, Filipina, Indonesia, Singapura, Thailand, Vietnam, Kemboja, Laos, Brunei, Myanmar dan China.

Selebriti yang dijangka mencuri perhatian ialah Raymong Guiterrezz, Richard Guiterezz, Ruffa Guiterez, Piola Pascual dan Nora Ainor dari Filipina sementara dari Indonesia pula ialah Datuk Rossa dan Christine Hakim.

Filem Malaysia "Pilot Cafe" arahan Osman Ali dan diterbitkan Tarantela Pictures akan ditayangkan semasa AIFFA 2015.

Pilot Cafe ialah filem adaptasi dari novel paling laris karya Ahadiat Akashah yang menampilkan pelakon Fahrin Ahmad, Izara Aishah, Neelofa, Datuk Eizlan Yusoff, Keith Foo dan Azad Jazmin.

"Festival kali ini dijangka lebih meriah daripada AIFFA 2013," kata Abang Johari.

Beliau berkata penganjuran festival adalah peluang terbaik bagi mewujudkan persefahaman di kalangan negara-negara ASEAN dan China.

Sementara itu, Forum Pengeluaran Bersama Filem dan Televisyen ASEAN-China: "Mempromosi Pelancongan Serantau Melalui Filem" juga akan diadakan pada 11 April bagi perbincangan dengan wakil industri perfileman serta penggiat utama pelancongan di Sarawak.

Semasa festival itu berlangsung, tayangan filem akan diadakan selama 24 jam di Kampung Budaya Sarawak (SCV) dan upacara perasmian akan berlangsung pada 10 April di SCV.

Acara malam gala dan majlis anugerah akan berlangsung pada 11 April di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) apabila pemenang 12 kategori anugerah akan diumumkan.-- BERNAMA
Kuching Hos Anugerah Dan Festival Filem Antarabangsa Asean Kali Kedua Kuching Hos Anugerah Dan Festival Filem Antarabangsa Asean Kali Kedua Reviewed by Admin on February 16, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.