MELAKA: Selepas gagal
dalam sembilan percubaan, Malaysia akhirnya merasai nikmat bergelar juara
Kejohanan Sepak Takraw Siri Super ISTAF buat kali pertama apabila menjinakkan
musuh tradisi, Thailand 2-0 dalam perlawanan akhir Pusingan 2 di Pusat
Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) semalam.
Kemenangan itu bukan
saja menghadiahkan kejuaraan pertama buat pasukan negara sejak kejohanan
diperkenalkan pada 2011, malah membalas dendam terhadap kekalahan kepada
Thailand dalam Siri Super ISTAF Pusingan 1 di Nay Phi Taw, Myanmark, November
lalu.
Biarpun berdepan skuad
utama lawan, namun anak-anak buah Abdul Talib Ahmad berjaya melenyapkan ego
gergasi sepak takraw dunia itu.
Malaysia yang dibarisi
kapten, Farhan Adam (pengumpan), Hanafiah Dollah (perejam) dan tekong, Syahir
Rosdi menampilkan permainan mantap di set pertama apabila menang mudah 21-7.
Servis kencang Syahir
yang mencecah 74 kilometer sejam menjadi kunci kemenangan pasukan negara, yang
menjinakkan Thailand hanya dalam tempoh 50 minit.
Selepas gagal memberi
tentangan sengit pada set pertama, Thailand terpaksa menukar strategi dengan
memasukkan tekong, Siriwat Sakha untuk menggantikan Kritsanapong Nontakote bagi
bergandingan dengan Panupong Petlue dan Thawisak Thongsai.
Perubahan itu
bagaimanapun tidak menganggu rentak Malaysia walaupun diberi tentangan hebat
oleh regu lawan yang meletakkan dua perejam.
Kedua-dua pasukan saling
mengejar mata, namun pada akhirnya skuad negara menang 21-19.
“Pemain menunjukkan
permainan sebenar. Ini yang saya katakan sebagai ‘berani mencuba’. Mereka
berjaya mengeluarkan segala ilmu yang dipelajari.
“Saya beritahu pemain,
Thailand bimbang dengan servis kita. Alhamdullillah... Melaka kini ada satu
lagi sejarah untuk dibanggakan,” kata Abdul Talib.
Abdul Talib berkata, dia
memasukkan Khairol Zaman di set kedua kerana melihat Thailand terlalu
memfokuskan kepada hadangan sisi kiri. Khairol memiliki lompatan yang sangat
tinggi.
Selepas 10 Siri Super
ISTAF dipertandingkan, Thailand meraih lapan kejuaraan, manakala Thailand dan
Korea Selatan berkongsi satu gelaran.
Malaysia tidak pernah
menewaskan Thailand dalam kejohanan utama sejak kali terakhir meraih pingat
emas pada Sukan SEA 2005.
Sementara itu, skuad
wanita Thailand menebus kekecewaan pasukan lelaki mereka apabila dinobat
sebagai juara dengan mengalahkan Vietnam 2-0. - UO
Malaysia Tewaskan Musuh Tradisi Buat Kali Pertama
Reviewed by JANUARIUS
on
February 09, 2015
Rating:
No comments: