Seo Services

PDRM panggil Ketua Pengarang Malaysiakini

Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil Ketua Pengarang portal berita Malaysiakini kerana dilihat cuba melaga-lagakan pihak polis dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, tindakan Malaysiakini yang terus menerus memainkan isu surat sokongan Menteri kepada Paul Phua, individu yang ditahan di Amerika Syarikat (AS) dilihat sengaja mencari masalah.

Beliau berkata, setiap laporan yang dibuat perlulah mempunyai kesahihan bagi mengelakkan perkara tersebut dilihat sengaja untuk melaga-lagakan pihak polis dengan Menteri Dalam Negeri.

“Saya ingin panggil Ketua Pengarang portal berita Malaysiakini yang dilihat cuba melaga-lagakan polis dengan Ahmad Zahid, selepas ini jika artikel berhubung perkara ini terus dimainkan saya rasa dia se­ngaja mengundang masalah.

“Jangan sesekali lagakan polis dengan kementerian mahupun sesiapa, laporkan berita yang betul dan jika ada pegawai saya yang memberi maklumat, sila dedahkan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran dan Memperkenalkan Pasukan Bola Sepak PDRM di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai surat penjelasan yang dihantar Ahmad Zahid kepada Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) AS mengenai Paul Phua yang ditangkap di negara terbabit.

Sebelum ini Ahmad Zahid sudah menjelaskan bahawa surat berkenaan bukanlah sokongan, sebalik­nya hanya penjelasan yang menyatakan dua perkara iaitu tidak wujud kumpulan kongsi gelap 14K di Malaysia sementara Paul juga bukan ahli kumpulan 14K di negara ini.

Sementara itu, mengulas me­ngenai kesahihan kematian pengganas paling dikehendaki di Asia Tenggara, Zulkifli Hir atau Marwan di Filipina, Khalid berkata, perkara tersebut tidak dapat disahkan lagi kerana Malaysia belum menerima sebarang laporan rasmi daripada pihak berkuasa Filipina.

“Kita masih menunggu maklumat lengkap dan pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa Filipina berhubung kematian Zulkifli, jadi saya tidak boleh mengesahkan perkara itu.

“Kita belum memperoleh laporan lengkap dari Filipina. Jika ada, barulah kita sahkan sama ada Zulkif­li telah terbunuh atau tidak dalam serangan pihak berkuasa negara tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai usaha pihak tertentu yang cuba menghasut rakyat menyokong cubaan untuk membawa keluar Sabah serta Sarawak daripada Malaysia, Khalid berkata, polis tidak akan berkompromi dengan kumpulan terbabit.

“Sebarang cubaan membawa keluar Sabah dan Sarawak adalah me­langgar peruntukan Perlembagaan dan merupakan satu penderhakaan jadi polis tidak akan biarkan perkara ini berlaku.

“Saya sudah pun mengeluarkan arahan kepada pegawai di Sabah dan Sarawak supaya terus mengawasi setiap gerakan yang mengha­sut rakyat menyokong usaha membawa keluar Sabah dan Sarawak daripada Malaysia.

“Polis tidak akan berkompromi dalam isu ini, jika tertangkap tindakan tegas bakal dikenakan, anggaplah ini sebagai peringatan saya kepada mana-mana individu yang terbabit,” katanya.- Utusan
PDRM panggil Ketua Pengarang Malaysiakini PDRM panggil Ketua Pengarang Malaysiakini Reviewed by Admin on February 03, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.