KUALA LUMPUR: Persatuan
Bolasepak Malaysia (FAM) menganggap tindakan penyokong yang memaparkan kain
rentang saiz gergasi bergambarkan anjing di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Johor
Bahru semasa perlawanan sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah kelmarin
sebagai tidak beradab kurang berdisiplin serta tidak sensitif.
Setiausaha Agung FAM,
Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor
(PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sendiri telah mengakui amat kecewa dengan
tindakan kumpulan penyokong itu.
Selain itu, katanya,
beliau dimaklumkan bahawa sebanyak 12 penyokong telah ditangkap berhubung
perbuatan itu.
Menurut Hamidin, Tunku
Ismail juga berkata perbuatan kumpulan itu tidak wajar dan jika mereka tidak
berpuas hati, mereka perlu mendapatkan fakta-fakta terlebih dahulu.
“Justeru, saya percaya
kejadian ini berlaku kerana penyokong-penyokong tidak mendapat fakta yang
jelas.
“Persatuan negeri dan
kelab perlu bertanggungjawab dalam hal ini. Jadi hingga pagi tadi, saya telah
dimaklumkan oleh Presiden PBNJ sendiri bahawa baginda mengarahkan pihak
marsyal yang ditubuhkan di bawah PBNJ, dibantu oleh pihak polis, untuk
menurunkan kain rentang itu dan sebanyak 12 penonton telah ditangkap untuk
ditahan reman selama lima hari,” katanya.
Beliau turut memuji PBNJ
yang telah bertindak pantas untuk mengelakkan kejadian lebih buruk dan berjaya
menangkap penyokong-penyokong tidak bertanggungjawab itu.
FAM juga, katanya, akan
mengeluarkan surat pekeliling kepada seluruh persatuan bola sepak negeri dan
kelab supaya memantau kain rentang penyokong-penyokong yang datang ke stadium
supaya tidak membawa sepanduk atau apa-apa yang berbau politik atau menimbulkan
provokasi.
Sungguhpun perlawanan
kelmarin dicemari dengan perbuatan tidak bertanggungjawab itu, perlawanan
antara kedua-dua pasukan tetap berlangsung dengan baik yang menyaksikan JDT
berjaya merampas Piala Sultan Ahmad Shah daripada Pahang selepas menang 2-0.
Sementara itu, Hamidin
berkata, biarpun PBNJ telah mengambil langkah drastik bagi menangani isu kain
kentang berkenaan namun pihak FAM tetap akan menghantar surat tunjuk sebab
kepada persatuan itu mengenai kejadian tersebut.
“Ini kerana mereka perlu
ingat bahawa FAM adalah bukan persatuan yang dikendalikan oleh seorang individu
sahaja dan FAM adalah meliputi semua kelab dan persatuan negeri gabungan.
“Ini bermakna semua ahli
gabungan di bawah FAM adalah bertanggungjawab dalam hal ini dan semua
penyokong-penyokong di bawah naungan tersebut adalah tidak terkecuali,”
tegasnya.
Katanya lagi, FAM turut
akan membincangkan insiden itu dalam mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan
Tempatan (JKPT). - UO
Persatuan Negeri Dan Kelab Perlu Bertanggungjawab
Reviewed by MRJ | Mr. Januarius Tomek
on
February 02, 2015
Rating:
Reviewed by MRJ | Mr. Januarius Tomek
on
February 02, 2015
Rating:

No comments: