Seo Services

Sarawak Ke-3 Paling Ramai Ahli KRT Dalam Malaysia

BATANG SADONG: Sarawak pada masa ini mempunyai 819 Kejiranan Rukun Tetangga (KRT) dan berada di tempat ke-tiga tertinggi di seluruh negara serta mempunyai paling ramai ahli KRT berbanding negeri lain.

Menteri Di pejabat Perdana Menteri Hajah Nancy Shukri berkata, untuk bulan Januari yang lalu, sebanyak sembilan KRT baru ditubuhkan di seluruh Sarawak dan angka ini dijangka terus bertambah dari tahun ke tahun.

"Apa lagi pada tahun ini, saya difahamkan bahawa Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Sarawak akan memperluaskan lagi kawasan KRT di seluruh negeri ini, dengan perancangan untuk membuka 20 lagi KRT di sekitar Simunjan dan Gedong."

Nancy yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong berkata demikian pada Majlis Perasmian Kawasan Rukun Tetangga Kampung Rangawan dan Perasmian Sukaneka Kampung di Dewan Kampung Rangawan semalam.

"Akhir tahun lalu turut menyaksikan beberapa pembukaan KRT baru termasuk di Semera Hilir, Sadong Jaya Laut serta Kampung Jemukan Tengah," katanya lagi.

Menurut Nancy, selain itu, beberapa aktiviti KRT turut rancak diadakan termasuklah Program Jom Ronda KRT Kampung Jaie serta Bengkel Pemantapan Projek Ekonomi Rukun Tetangga.

"Pada hari ini kita berkumpul untuk meraikan Penubuhan KRT Kampung Rangawan yang dipengerusikan oleh Bujang Tegak dengan disertai 300 ahli," katanya sambil menambah sesungguhnya acara sebegini menandakan penduduk kampung di Batang Sadong semakin sedar akan pentingnya kewujudan KRT di dalam masyarakat kita.

"Pertambahan bilangan KRT di Parlimen Batang Sadong ini bermakna, lebih ramai anggota masyarakat dalam KRT dan ia secara tidak langsung dapat memberi manfaat kepada rakyat dan negara serta mampu membantu mereka menikmati pembangunan yang dirangka Kerajaan."

Mengingatkan, ketika ini negara berdepan dengan fahaman ekstremisme dalam pelbagai sudut agama mahupun sosial, Nancy berkata, malah ada anak muda kita yang terjebak dengan perjuangan palsu kumpulan militan Negara Islam (IS) selain masalah-masalah sosial.

"Oleh itu, saya menyeru pemimpin-pemimpin KRT untuk menarik seberapa banyak penyertaan dari anak-anak muda di setiap kampung dan memimpin mereka agar tidak terpengaruh oleh fahaman melampau ini."

Beliau mengesa agar semua mencari jalan untuk mendekati dan memahami kehendak anak muda kerana pendekatan lama yang sudah ketinggalan zaman dan tidak mengikut trend dalam kehidupan anak muda masa kini.

"Oleh itu, transformasi perlu dilakukan bagi membolehkan mereka menyumbang idea untuk menjalankan program yang menepati citarasa mereka dan bukannya hanya sekadar melibatkan diri sebagai peserta tetapi menjadi penganjur bersama."

Nancy berkata, KRT boleh berperanan sebagai institusi latihan tidak formal atau 'one stop centre' yang membolehkan jawatankuasa-jawatankuasa seperti belia, NGO, surau serta parti-parti politik di kampung-kampung untuk bersatu menjalankan aktiviti bersama demi manfaat semua lapisan masyarakat.

"Tumpuan juga harus diberikan kepada pihak belia kerana KRT boleh menjadi platform terbaik untuk melatih golongan ini menjadi pemimpin yang akan melalui proses kepimpinan sebenar dari peringkat bawahan hinggalah ke peringkat atasan," katanya lagi.

"Pengalaman sebenar di lapangan akan menguji tahap kecekalan pemimpin muda dalam menghadapi apa jua kritikan dari pelbagai sudut dan apabila seseorang pemimpin muda itu dapat melaluinya, mereka secara tidak langsung akan dapat membentuk keperibadian diri sebagai seorang pemimpin yang boleh dicontohi," ujar Nancy lagi.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah ADUN Sadong Jaya Aidel Lariwoo dan dif-dif jemputan yang lain. - Sarawakiana
Sarawak Ke-3 Paling Ramai Ahli KRT Dalam Malaysia Sarawak Ke-3 Paling Ramai Ahli KRT Dalam Malaysia Reviewed by Salfian Nawawi on February 09, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.