Seo Services

Seronok Bertukar Cemas Bila Buaya Tersangkut Pada Jaring


KUCHING: Keseronokan tiga bersaudara memeriksa jaring di sebatang anak sungai sebuah ladang sawit Kampung Naie, Samarahan dekat sini bertukar detik cemas apabila seekor buaya ditemui tersangkut di salah satu jaring yang dipasang.

Menceritakan detik cemas itu semalam, Mohammad Shafiq Sabarudin, 22, dari Kampung Melayu, Samarahan berkata buaya dipercayai dari spesies ‘Nyulong’ itu tersangkut di jaring kerana kelihatan ingin memakan ikan di dalamnya.

Menurutnya, buaya sepanjang kira-kira 12 kaki itu kemudian ditarik perlahan-lahan ke kawasan darat ladang sawit sebelum mereka bertindak membalutnya menggunakan kanvas.

Pada mulanya, jelas Shafiq, dia dan dua saudaranya mahu membawa buaya itu ke pejabat sawit, bagaimanapun menukar fikiran dan terus membawanya pulang ke kampung mereka.

“Selepas kami membalut buaya itu dengan kanvas, kami mengangkatnya ke dalam kereta Kancil milik salah seorang saudara saya dan membawanya pulang ke Kampung Baru.

“Sejurus sampai di kampung kira-kira jam 10.30 pagi, saya terus menghubungi pihak Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) sebelum mereka tiba di kampung pada jam 10.50 pagi,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo, semalam.

Shafiq memberitahu, buaya itu kemudian dikerumuni penduduk kampung yang mahu melihatnya dari dekat.

Menyentuh ketakutan dan kegusaran yang dirasai Shafiq dan saudaranya ketika terjumpa reptilia itu, jelas Shafiq, dia kini berasa takut dan bimbang untuk turun memeriksa jaring di kawasan itu andai berseorangan.

“Nak dikatakan berani tidak juga, takut memang ada. Demi rezeki, saya harus gagahkan diri untuk memeriksa jaring ikan pada masa akan datang, tetapi haruslah berteman,” katanya. - UB
Seronok Bertukar Cemas Bila Buaya Tersangkut Pada Jaring Seronok Bertukar Cemas Bila Buaya Tersangkut Pada Jaring Reviewed by Salfian Nawawi on February 15, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.