KUCHING, 5 Feb (Bernama) -- Persepsi umum mengenai integriti jabatan serta agensi-agensi kerajaan penting dalam memupuk keyakinan pelabur luar untuk datang melabur modal dalam negara.
Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Sarawak Datuk Seri Michael Manyin anak Jawong berkata bagi tujuan itu pelbagai agensi kerajaan digalakkan untuk membuat Ikrar Integriti Korporat (CIP).
Katanya di Sarawak, selepas Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem dan barisan menteri kabinet negeri menandatangani CIP Januari lepas, pelbagai jabatan dan agensi kerajaan negeri mula menyusuli dengan mengambil langkah yang sama.
Menurutnya Lembaga Sungai Sarawak (LSS) yang menandatangani ikrar CIP hari ini merupakan agensi pertama dari kementerian beliau yang berbuat demikian, dan pihaknya sedang mengusahakan langkah yang sama untuk diambil oleh Jabatan Kerja Raya Negeri, tidak lama lagi.
Bercakap dalam persidangan media selepas menyaksikan majlis menandatangani CIP LSS di Auditorium Perpustakaan Negara di sini hari ini, beliau berkata ia akan disusuli lain-lain agensi di bawah Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Sarawak, yang menurutnya akan menandatangani CIP dalam tahun ini juga.
"Bukan sahaja jabatan, malah segenap lapisan masyarakat perlu ada kesedaran mengenai soal integriti mahupun gejala rasuah, supaya ia tidak menjadi satu 'penyakit'," katanya.
Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak Badrul Shah Norman, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Misnu Taha, serta para Ahli Lembaga LSS.
Badrul Shah berkata selepas JKR Sarawak, pihaknya sedang berunding dengan pihak Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) yang dijangka menandatangani CIP sekitar April ini, namun ia bergantung kepada keadaan kerana banyak perkara yang perlu diperincikan sebelum satu-satu ikrar dimuktamadkan.
Ketika dirujuk mengenai kenyataan Adenan yang masih menyuarakan rasa tidak puas hati dengan integriti Jabatan Perhutanan Negeri beberapa kali sebelum ini, Badrul Shah berkata usaha membina integriti adalah langkah yang berterusan.
Untuk rekod, November tahun lepas, 21 agensi kerajaan dan swasta dalam sektor perhutanan di Sarawak sudah menandatangani CIP, yang dilihat ramai sebagai ketegasan Adenan memerangi rasuah dalam sektor perhutanan.
-- BERNAMA
Persepsi Umum Mengenai Integriti Penting Dalam Menarik Kehadiran Pelabur Asing
Reviewed by Admin
on
March 05, 2015
Rating:
Reviewed by Admin
on
March 05, 2015
Rating:

No comments: