MOSCOW: Seorang pelajar perubatan Malaysia di Russian National Research Medical University (RNRMU) berada dalam keadaan kritikal akibat kebakaran penginapan asrama di sini, malam semalam.
Pelajar itu, Rosdiana Idhan Halis kini berada dalam Unit Rawatan Rapi (ICU).
Jurucakap pejabat Kedutaan Besar Malaysia di sini berkata, beliau kini disokong dengan alat bantuan pernafasan.
"Malawakil akan menghubungi keluarga beliau untuk memaklumkan perkembangan pelajar terbabit.
Empat lagi pelajar kini masih menerima rawatan di ICU bagi kecederaan disebabkan oleh kelecuran kulit dan masalah pernafasan," katanya dalam kenyataan lewat malam tadi.
Kebakaran di asrama penginapan pelajar, asrama M2 di (RNRMU) dilaporkan berlaku di antara jam 10.30 malam dan 11.30 malam waktu tempatan, kelmarin.
Punca kebakaran masih lagi dalam siasatan pihak berkuasa tempatan. Maklumat tidak rasmi menyatakan kebakaran berlaku di sebabkan oleh litar pintas. Kebakaran hanya berlaku di dua buah bilik yang didiami lima pelajar Malaysia di tingkat tujuh bangunan asrama berkenaan.
Bagaimanapun, asap tebal naik sehingga ke tingkat 15 dan menyebabkan ramai pelajar menghadapi masalah pernafasan.
Pelajar-pelajar yang mengalami kecederaan dikejarkan ke beberapa hospital tempatan. Jurucakap itu berkata, Malawakil sudah berhubung dengan serta merta pihak (RNRMU) dan Kementerian Hal Kecemasan Russia bagi mengendalikan hal ehwal pelajar yang dilaporkan terjejas selepas menerima laporan daripada mereka yang terbabit.
"Duta Besar dan pegawai-pegawai Malawakil sudah melawat pelajar-pelajar yang terbabit pada petang semalam bagi membantu dan menilai keperluan pelajar yang terjejas.
Kesemua keluarga pelajar yang terjejas akan dimaklumkan pada pagi ini (24 April) selepas semua maklumat dapat disahkan," katanya. Selain itu, pelajar yang terbabit sudah menyampaikan penghargaan mereka kepada bantuan yang diberikan.
"Mereka juga berpuashati dengan perkhidmatan yang diberikan oleh pihak hospital," katanya. Katanya, Menteri Kesihatan Russia, Veronica Igorevna Skvortsova memberi jaminan kepada Duta Besar Malaysia bahawa pihak hospital akan terus memberikan kerjasama dalam memanjangkan bantuan rawatan kepada pelajar terjejas.
"Pihak Malawakil akan terus memantau perkembangan pelajar yang terbabit terutamanya yang masih lagi menerima rawatan di hospital. Keseluruhannya keadaan adalah terkawal," katanya.-BH
Pelajar Malaysia Kritikal Di Russia
Reviewed by Unknown
on
April 24, 2015
Rating:
Reviewed by Unknown
on
April 24, 2015
Rating:

No comments: