Seo Services

Perpaduan Dan Persefahaman Tonggak Kelestarian Pendidikan Negara


KUCHING: Perpaduan dan persefahaman politik, bangsa serta agama menjadi tonggak kepada kelestarian pendidikan negara.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman berkata terdapat ramai golongan ekstremis yang kian bertambah menghasut belia muda sebagai senjata perjuangan mereka.

“Memang ada golongan yang tidak senang dengan keadaan baik ini dan menimbulkan pelbagai isu untuk kepentingan politik mereka, ia sangat berbahaya dan ada pula yang cuba menggugat kestabilan politik dan keamanan negara.

“Sekiranya perkara ini berlaku, bangsa lain juga akan berbalah dengan kita dan akhirnya ia merugikan bangsa kita sendiri,” katanya ketika berucap pada Majlis Malam Penghargaan ‘Meniti Denai Kecemerlangan Sainsku’ di Sekolah Menengah (SM) Sains, Matang malam kelmarin.

Justeru, beliau menyeru para pendidik dan golongan ibu bapa agar mendidik anak mereka tentang konsep toleransi dan persefahaman agar tidak ada golongan yang akan menggunakan agama atau bangsa untuk memperjuangkan kepentingan mereka.

Konsep yang positif dan kerjasama yang erat dalam kepelbagaian masyarakat yang berbeza dan berbilang kaum akan mematangkan masyarakat, tegasnya.

Beliau memuji visi pendidikan oleh kepimpinan terdahulu yang memberi peluang kepada anak-anak dari luar bandar untuk sama-sama bersaing dengan anak-anak dalam bandar.

“Inilah tujuan kerajaan kita menubuhkan SM Sains dan seumpamanya bagi merapatkan jurang mereka di bandar dan luar bandar agar tidak jauh berbeza.

“Memang jelas, anak-anak dari luar bandar juga menunjukkan kecemerlangan yang memberangsangkan dan ini membuktikan sistem pendidikan yang dipelopori kerajaan begitu baik sekali.

“Apa sahaja tuduhan, pandangan dan persepsi tentang kualiti pendidikan di Malaysia, namun setiap tahun anak kita di sekolah ini mencapai kecemerlangan yang begitu baik sekali,” katanya.

Seramai 30 pelajar SM Sains telah mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lepas selain cemerlang dalam kegiatan kokurikulum.

Ujarnya, jelas sekali sistem pendidikan yang diasaskan oleh kerajaan menunjukkan kejayaan tetapi banyak cabaran yang terpaksa dihadapi dan ia menjadi usaha supaya anak kita dapat meningkatkan kecemerlangan dan kemajuan negara.

Para bekas pengetua SM Sains turut diraikan dengan persembahan orkestra dan jamuan makan malam selain persembahan nyanyian. - UB
Perpaduan Dan Persefahaman Tonggak Kelestarian Pendidikan Negara Perpaduan Dan Persefahaman Tonggak Kelestarian Pendidikan Negara Reviewed by Salfian Nawawi on April 29, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.