Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersedia untuk mengambil alih sepenuhnya kawalan sempadan antarabangsa negara sekiranya mendapat arahan untuk berbuat demikian, kata Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.
"Kami (ATM) hanya akan bertindak apabila menerima arahan daripada peringkat nasional," katanya ketika diminta mengulas cadangan agar langkah drastik diambil kerajaan termasuk tentera mengambil alih sepenuhnya kawalan di sempadan negara bagi membendung ancaman terhadap keselamatan dan pertahanan negara.
Tanggungjawab menjaga sempadan negara pada masa ini di bawah kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan dibantu ATM.
Zulkifeli mengakui terdapat cadangan untuk tentera diberi kuasa mengambil alih kawalan keselamatan keseluruhan sempadan antarabangsa negara, namun ia bergantung kepada keputusan yang bakal dibuat oleh kerajaan nanti.
"Pada ketika ini, ATM telah diberi tanggungjawab untuk menjaga sempadan Malaysia dan Thailand iaitu bermula dari bahagian paling timur iaitu Pengkalan Kubor di Tumpat, Kelantan sehingga ke Barat iaitu sempadan Negeri Kedah.
"Kawalan sempadan negeri Perlis dan negara Thailand dalam tanggungjawab Pasukan Gerakan Am (PGA), Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pemakaian pangkat Kolonel Kehormat Askar Wataniah kepada Datuk Elmi Yusoff, yang merupakan Setiausaha Sulit Kanan Yang di-Pertuan Agong.
Zulkifeli berkata, beliau sendiri telah melakukan perbincangan dengan Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar dan KPN meminta agar pihaknya terus mengawal kawasan tersebut sehingga kajian yang dilakukan oleh Kementerian Dalam Negara (KDN) selesai nanti.
Beliau berkata perkara tersebut juga akan dibincangkan pada mesyuarat jawatankuasa gerakan ATM dan PDRM pada bulan Oktober nanti.
Mengulas mengenai perkembangan terbaru penempatan dua pangkalan laut di Laut Sulu di Sabah, Zulkifeli berkata, pangkalan laut Tun Azizan dan Tun Sharifah Rodziah telah hampir siap dibina.
"Semua kerja-kerja pembinaan dan penempatan di kedua-dua pangkalan tersebut berjalan lancar dan kita telah membuat latihan dan persiapan bagi menentukan keberkesanan penempatan aset tersebut," katanya.
Beliau berkata kedua-dua pangkalan laut tersebut akan ditauliah dalam masa terdekat ini.- BERNAMA
ATM Sedia Ambil Alih Tugas Sepenuhnya Kawal Sempadan Negara
Reviewed by Unknown
on
July 27, 2015
Rating:
Reviewed by Unknown
on
July 27, 2015
Rating:

No comments: