KUCHING: Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata jaminan kestabilan ekonomi negara bergantung kepada keutuhan perpaduan melalui penguasaan teknologi dan pendidikan.
Ini kerana banyak negara dilihat mengalami kacau-bilau kerana perpaduan yang sukar dicapai selepas berlakunya pergolakan.
“Sejak kebelakangan ini kita lihat terdapat banyak bangkangan dan protes yang diadakan di beberapa buah negara.
“Sekiranya ia mula berlaku maka amatlah sukar untuk ia dihentikan dan keamanan pasti sukar dicapai. Malahan paling menyedihkan ia turut memberi impak kepada negara jiran.
“Adalah wajar sekiranya perpaduan dalam negara dijalin terlebih dahulu dan negara-negara jiran diperkukuhkan lagi sebagaimana yang dilakukan sebelum ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Hari Ulang Tahun Persekutuan Persatuan Perkumpulan Chai Sarawak (SCCA) di sini kelmarin.
Dunia hari ini jelasnya mengalami kegawatan ekonomi, kemiskinan, pendidikan, selisih faham perkauman dan masalah persekitaran.
Cabaran tersebut telah menyebabkan kualiti dan sosial kehidupan ramai orang menjadi semakin sukar sekiranya tidak diurus dengan baik.
Justeru, beliau menyeru agar SCCA bersama pihak berkepentingan yang lainnya bersama-sama berganding bahu dan berusaha menyediakan kehidupan yang lebih baik untuk semua.
Pihaknya turut menjadi tuan rumah meraikan ahli-ahli perkumpulan tersebut dari negara luar seperti China, Indonesia, Thailand, Singapura, Filipina dan Taiwan.
Dianggarkan seramai 400 ahli SCCA dari seluruh negeri menghadiri majlis itu kelmarin.
“Anda semua datang daripada pelbagai negara yang berbeza dari segi geografi, interaksi sosial, kebudayaan dan latar belakang keagamaan.
“Kita berkumpul di sini untuk bersua muka dan berbincang akan hala tuju dan cabaran yang dihadapi oleh SCCA.
“Walaupun perpecahan boleh berlaku sekiranya terdapat sebaran maklumat yang salah, sentimen negatif dan komen yang tidak bertanggungjawab harus dihalang,” katanya.
Beliau menasihati perkumpulan Chai untuk terus mengukuhkan kedudukan dengan jalinan perpaduan bersama pihak berkepentingan dan menyusun strategi serta pelaksanaan pelan usaha.
Pada masa yang sama menggesa agar ahli SCCA menguasai cara berkomunikasi supaya tidak ketinggalan dari segi perkembangan teknologi yang semakin membangun hari ini.
Jelasnya, dunia hari ini menjadi semakin kecil setiap hari dan komunikasi sedikit sebanyak mempengaruhi kebudayaan, cara kerja dan kehidupan seharian kita.
“Maklumat juga bebas dikongsi melalui peranti komunikasi sepantas kilat dan memberi manfaat kepada semua kita.
“Bagaimanapun, ia telah menimbulkan pelbagai masalah kerana tiada tapisan sehingga kadangkala mempengaruhi tingkah laku dan cara seseorang itu berfikir.
“Menguasai maklumat yang dikongsi seperti di Facebook, Twitter, Instagram dan Youtube amatlah berguna tetapi jangan menyalahgunakan ia,” tambahnya.
Beliau juga mengingatkan agar pendidikan anak-anak menjadi kemestian utama dalam mencorak kehidupan yang lebih baik dan terjamin pada masa depan. - UB
Kestabilan Ekonomi Negara Bergantung Kepada Keutuhan Perpaduan - Fadillah
Reviewed by uMieySurianie
on
July 28, 2015
Rating:
Reviewed by uMieySurianie
on
July 28, 2015
Rating:

No comments: