Seo Services

Politik Dalaman Tidak Seharusnya Wujud Dalam NGO


KUCHING: Politik dalaman tidak seharusnya wujud dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerana ia boleh menjejaskan perpaduan bukan sahaja di peringkat pertubuhan tetapi masyarakat secara keseluruhannya.

Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan Ikom mendedahkan bahawa dalam sebuah NGO termasuk persatuan sukan wujud beberapa kumpulan berbeza pandangan yang sering memburuk-buruk-kan antara satu sama lain.

“Mungkin anda tidak tahu, dalam persatuan dan organisasi termasuk persatuan sukan, wujudnya politik dalaman.

“Wujud beberapa kumpulan dalam satu persatuan dan mereka datang berjumpa dengan saya dalam kumpulan berbeza, kadangkala berkata yang tidak baik mengenai kumpulan lain.

“Dalam hal ini saya terpaksa bertanya kumpulan mana yang lebih sah dan betul dari segi penubuhannya, jika tidak saya tidak akan memberi bantuan,” ujarnya sambil menambah bahawa bantuan yang diberi adalah berdasarkan kesahihan bukan dipengaruhi elemen politik dan perasaan negatif.

Beliau turut mengingatkan NGO khasnya dan rakyat amnya, agar tidak menganjurkan aktiviti yang tidak kondusif kepada kerajaan kerana keadaan boleh tidak terkawal sehingga menimbulkan kekecohan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menyampaikan geran kerajaan kepada lima NGO di pejabatnya di bangunan Baitulmakmur dekat sini semalam.

Lima pertubuhan itu ialah Kelab Golf Sarawak (KGS), Jawatan Kuasa Pesta Na-nas, Kelab Rando Sarawak, The Archbishop of Kuching dan Persatuan Ibu Tunggal Sarawak membabitkan peruntukan keseluruhan RM130,000.

Sementara itu dalam ucapan ringkasnya Mawan berkata, dari Januari hingga semalam beliau telah mengagihkan RM5.4 juta kepada NGO yang serius melaksanakan perjuangan mereka demi kesejahteraan komuniti.

Sementara itu pada majlis sama KGS memperkenalkan dua pemain golf juniornya iaitu Anson Yeo, 9, dari Kuching dan Lim Beng Kiat, 15, (Miri) kepada Mawan.

Anson dan Lim akan me-wakili Sarawak dalam Kejohanan Dunia Remaja 2015 yang akan berlangsung di Pinehurst Resort di Coralina Utara, Amerika Syarikat dari 23 hingga 25 Julai ini.

Kejohanan itu dianjurkan oleh US Kids Golf dan 500 pemain golf muda dari seluruh dunia dijangka bertarung merebut gelaran dalam kejohanan berprestij itu.

Anson melakar sejarah dalam sukan golf apabila menjadi pemain golf paling muda dari Sarawak bersaing dalam kejohanan junior kelas dunia manakala Lim menerima jemputan untuk menyertai kejohanan itu selepas beliau memenangi Kejohanan Golf Kanak-Kanak Dunia 2014.

Mengulas mengenai kejayaan Anson dan Lim itu, Mawan berkata Kementerian sedia mempertimbang untuk menjadi penaja bersama sekiranya mereka beraksi di luar negara kerana ia sebahagian daripada program pembangunan kerajaan membabitkan belia.

“KGS memainkan peranan mereka dengan baik dan unik sekali, ini dapat dilihat dengan dua kanak-kanak yang menunjukkan bakat dalam sukan golf pada usia muda telah berjaya dibentuk.

“Bukan kami (Kementerian) yang memilih kerana kami tidak cukup tahu mengenainya tetapi jika KGS mencadangkan, kami sedia bekerjasama dalam apa jua aspek, bukan sekadar memberi sumbangan RM20,000 tetapi lebih daripada itu kami akan usahakan,” katanya. - UB


Politik Dalaman Tidak Seharusnya Wujud Dalam NGO Politik Dalaman Tidak Seharusnya Wujud Dalam NGO Reviewed by uMieySurianie on July 14, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.