Seo Services

RM50 Juta Untuk PBR Di Sarawak


DALAT: Kerajaan negeri menerima peruntukkan berjumlah RM50 juta daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah untuk melaksanakan Projek Bantuan Rumah (PBR) di Sarawak tahun ini.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga, Datuk Hajah Fatimah Abdullah berkata, peruntukkan itu meliputi projek membina baru dan membaiki rumah penduduk miskin yang usang.

"Peruntukkan besar tersebut menunjukkan Kerajaan Persekutuan serius membantu penduduk miskin di negeri ini," katanya sambil menambah, lebih banyak PBR akan dilaksanakan di seluruh negeri namun beliau tidak menyatakan jumlahnya.

Beliau menyatakan, PBR antara permohonan bantuan paling banyak diterima daripada penduduk Sarawak dan ianya meliputi permohonan untuk membina baru dan membaiki kerosakan rumah yang sudah usang.

"Kita menghargai sumbangan Kerajaan Persekutuan untuk memberi keselesaan kepada penduduk yang memerlukan," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan rumah kepada warga tua, Bibiana Bijah Ilup di Kampung Sungai Ud, di sini, semalam.

Fatimah berkata, kerajaan negeri akan memastikan peruntukkan itu dimanfaatkan sepenuhnya untuk golongan sasaran.

Sementara itu, Bibiana, 79, berkata beliau sering dibelenggu kebimbangan kerana rumah yang didiaminya selama ini terlalu usang dan hanya menunggu masa menyembah bumi.

"Saya tidak menyangka akan menerima rumah baru yang kukuh ini. Sekurang-kurangnya saya akan tidur lena selepas ini," katanya.

Bibiana tinggal di rumah berkenaan bersama suaminya, Edwin Suta, 88 dan adiknya Pawas Ilup, 74, yang mengalami masalah nyanyuk. - Sarawakiana


*Gambar ehsan dari SPPA

RM50 Juta Untuk PBR Di Sarawak RM50 Juta Untuk PBR Di Sarawak Reviewed by Salfian Nawawi on July 05, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.