Seo Services

Adenan Ulangi Komitmen Beri Tumpuan Kepada Pembangunan Luar Bandar Sarawak


KUCHING: Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem berkata sambutan Hari Malaysia di kawasan kecil di Sematan tahun ini, mencerminkan suatu harapan besar kepada rakyat negeri itu.

Beliau berkata sambutan ini merupakan pertama kalinya diadakan di tempat yang kecil seperti Sematan sejak 16 Sept 1963.

Menurutnya sambutan di Sematan itu merupakan simbol keazaman untuk memberi harapan kepada masa hadapan yang lebih cerah kepada rakyat di luar bandar.

"Kita sudah dan akan menambah peruntukan untuk pembangunan luar bandar di negeri ini. Tumpuan kepada pembangunan luar bandar bukan sesuatu yang baharu kepada Sarawak kerana selama ini bajet negeri memberi peruntukan 70 peratus bagi pembangunan yang kebanyakannya di luar bandar.

"Ini tidak berlaku di negeri lain di mana bajet sebenarnya 30 peratus pembangunan dan 70 peratus perbelanjaan operasi," katanya dalam catatan di Facebook rasminya Rabu.

Sambutan Hari Malaysia peringkat Sarawak diadakan di Sematan, sebuah kawasan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Datu kira-kira 107 km dari Kuching, Rabu.

Adenan yang juga Adun Tanjung Datu berkata Lebuhraya Pan-Borneo dari Sematan ke Telok Melano yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam, menandakan suatu perjalanan dari Sematan ke Lawas setelah menunggu lebih 50 tahun.

"Ini adalah suatu perjalanan untuk memperhebatkan lagi pembukaan kawasan luar bandar di sepanjang jajaran lebuh raya ini bermula dari Sematan ke Lawas.

"Lebuh raya ini bukan sekadar penghubung antara suatu tempat dengan tempat yang lain tetapi juga menjadi pemangkin pembangunan di sepanjang jajaran lebuh raya ini," katanya.

Sementara itu, dalam catatan sama, Adenan berkata Perjanjian Malaysia dan Perlembangaan memberi kuasa kepada Sarawak dan juga Sabah menjadi negeri yang mempunyai kuasa dalam beberapa bidang antaranya imigresen dan perhutanan.

Beliau berkata ada kuasa ini masih berada di tangan Sarawak, namun terdapat juga kuasa yang sudah berada pada Kerajaan Persekutuan.

"Terdapat juga kuasa yang bertindih seperti JKR, Kebajikan, Alam Sekitar. Bagi kuasa bertindih ini, kita mahu penurunan kuasa dari Persekutuan ke Negeri dilaksanakan untuk memudah dan mempercepatkan keputusan.

"Orang Sarawak sendiri lebih tahu apa keperluan Sarawak dan bagaimana untuk melaksanakannya," katanya.

Namun, Adenan menegaskan tuntutan Sarawak itu jangan disalah anggap sebagai tindakan mahu keluar dari Malaysia.

"Malaysia telah membantu Sarawak semasa susah dan terus membantu untuk perkara seperti pendidikan dan keselamatan. Kami akan kekal di Malaysia.

"Malaysia dulu, Malaysia kini dan Malaysia selamanya. Selamat Hari Malaysia!," katanya mengakhiri catatan tersebut.

--BERNAMA
Adenan Ulangi Komitmen Beri Tumpuan Kepada Pembangunan Luar Bandar Sarawak Adenan Ulangi Komitmen Beri Tumpuan Kepada Pembangunan Luar Bandar Sarawak Reviewed by Unknown on September 17, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.