KUCHING: Pelaksanaan sesuatu projek dijangka lebih cepat jika kuasa menguruskan tender diberikan sepenuhnya kepada pengurusan di peringkat negeri.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, proses keseluruhan tender terpaksa memakan masa lama kerana perlu mendapatkan pengendorsan daripada Kementerian Kewangan, yang juga perlu menguruskan negeri-negeri lain dalam negara.
“Jika ia dapat diturunkan kepada Sarawak dan Sabah, ia akan mengurangkan masa tender dilaksana dari masa tender ditutup hingga ke proses mengenal pasti syarikat tertentu dan memberi kuasa agar syarikat itu mendapat tender,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Al-Wida dan penyampaian lembu untuk ibadah korban di sini, semalam.
Beliau berkata demikian mengenai perkara-perkara yang boleh diserahkan kepada negeri Sarawak selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan di Lundu kelmarin, bahawa kerajaan persekutuan bersetuju me-nurunkan tiga kuasa kepada kerajaan negeri untuk membuat keputusan dalam fasa pertama proses penurunan kuasa kepada Sarawak.
Mengenai penurunan kuasa kepada pengarah jabatan di peringkat negeri untuk membuat keputusan tanpa perlu merujuk kepada Putrajaya katanya, ia juga akan mengurangkan birokrasi sekali gus mempercepatkan pelaksanaan sesuatu projek atau keputusan.
“Jadi kita tidak perlu lagi merujuk kepada keputusan ketua pengarah di peringkat pusat yang mungkin memakan masa berminggu-minggu atau berbulan-bulan sekali gus mengurangkan ‘redtape’ (birokrasi) agar pelaksanaan dapat dijalankan dengan cepat,” katanya yang juga Ahli Parlimen Santubong.
Beliau turut menjadikan contoh pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang diberi tiga hari untuk me- liputi setiap Parlimen, di mana perkara itu amat mustahil di Sarawak memandangkan sesebuah Parlimen seperti Santubong begitu luas.
Namun apabila pengarah negeri boleh membuat keputusan sendiri kelak katanya, maka tempoh itu dapat di-lanjutkan kepada 10 hari.
“Kesimpulannya, penurunan kuasa ini mengurangkan birokrasi dan memberi kuasa kepada pengarah negeri untuk melapor terus kepada setiausaha kerajaan negeri dan Ketua Menteri Sarawak,” katanya. - UB
Mekanisme Tender Sewajarnya Diuruskan Sepenuhnya Oleh Sarawak: Wan Junaidi
Reviewed by uMieySurianie
on
September 17, 2015
Rating:
Reviewed by uMieySurianie
on
September 17, 2015
Rating:

No comments: