Lundu : Pembinaan LebuhRaya Pan Borneo mampu menjadi pemangkin kepada kewujudan pusat-pusat pertumbuhan baru ekonomi sekaligus memberi manfaat kepada seluruh penduduk di Sarawak menurut Datuk Seri Najib Razak.
Perdana Menteri berkata, ini adalah manifesto Barisan Nasional (BN) untuk melaksanakan projek lebuhraya Pan Borneo sepanjang 2239 kilometer yang disasarkan akan menjadi penghubung bandar-bandar utama di Sabah dan Sarawak.
“Jika Lebuhraya Utara-Selatan membuka peluang pembangunan dan menambah baik jaringan perhubungan antara bandar di Semenanjung Malaysia, hal yang sama bakal terjadi melalui pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak,"
“Saya juga bersetuju dengan pandangan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem bahawa "apa saja pembangunan yang dinikmati di Semenanjung, Sarawak juga mahukannya, Sarawak juga tidak mahu ketinggalan,” katanya ketika berucap pada Majlis Memulakan Kerja Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak, Jajaran Teluk Melano-Sematan, di sini.
Najib berkata, Lebuhraya Pan Borneo juga mampu memberi akses yang lebih baik kepada penduduk untuk perkhidmatan kesihatan dan pendidikan apabila siap kelak.
Jajaran Telok Melano ke Sematan merupakan kompenen kedua dalam jajaran Lebuhraya Pan Borneo Sarawak untuk menghubungkan perkampungan di kawasan Telok Melano ke pekan Sematan yang mana pada masa ini jalan perhubungan utama penduduk adalah melalui jalan laut.
Pembinaan Jajaran Teluk Melano-Sematan sepanjang 32.7 km ini dijangka siap pada Disember 2018 dengan anggaran kos RM700 juta.
Komponen ‘kick-off’ projek Lebuhraya Pan Borneo yang melibatkan jajaran Simpang Jalan Nyabau ke Simpang Jalan Bakun sepanjang 43 kilometer pula sedang giat dilaksanakan selepas pelancarannya pada Mac lepas.
Ia adalah sebahagian daripada 1,089 km jajaran Pan Borneo Sarawak yang akan dinaik taraf kepada empat lorong dua hala dengan kos dianggarkan sebanyak RM18 billion.
Turut hadir, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Alfred Jabu Numpang; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. - Sarawakiana
Lebuhraya Pan Borneo Pemangkin Pertumbuhan Ekonomi
Reviewed by Unknown
on
September 15, 2015
Rating:
Reviewed by Unknown
on
September 15, 2015
Rating:

No comments: