Seo Services

Masyarakat Dayak Diminta Buat Teguran Membina Bukan Aibkan Pemimpin


SIBU: Masyarakat Dayak diingatkan agar tidak keterlaluan di dalam membuat teguran atau kritikan terhadap pemimpin masyarakat itu kerana impak negatifnya akan turut terpalit pada masyarakat berkenaan.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi semasa memberikan peringatan itu berkata segala teguran atau kritikan hendaklah bersifat membina dan bukannya untuk menghancurkan atau mengaibkan pemimpin.

"Jika anda tidak bersetuju dengan pemimpin mengenai sesuatu perkara, jangan hanya membantah. Kemukakan idea atau kertas kerja anda mengenai bagaimana sesuatu perkara itu boleh dilaksanakan," katanya.

Nanta yang juga anggota Parlimen Kapit yakin idea yang bernas akan diberi perhatian sewajarnya dan dipertimbangkan oleh para pemimpin Dayak demi kebaikan masyarakat itu.

Tidak salah bagi masyarakat Dayak menunjukkan sentimen mereka tetapi ia harus dilakukan dengan pendekatan yang bijak, katanya pada majlis makan malam perkenalan Raban Menua Song Baru di sini pada Sabtu malam.

Raban Menua Song Baru adalah nama kumpulan pengguna applikasi WhatsApp yang menghimpunkan penduduk-penduduk daerah Song yang berpendidikan ataupun sudah berjaya dalam kerjaya masing-masing.

Ia adalah platform bagi pertukaran idea untuk meningkatkan lagi pembangunan sosio ekonomi dalam kalangan penduduk daerah Song yang sebahagian besarnya adalah masyarakat pedalaman.

Fokus utama Raban Menua Song Baru adalah untuk membimbing pelajar agar mereka boleh berjaya dalam pendidikan selain menyokong program pembangunan yang dilaksanakan kerajaan bagi memperkasakan ekonomi penduduk pedalaman dengan menggunakan kepakaran yang dimiliki oleh anggotanya.

Sementara itu, pengerusi pengelola majlis itu Ir. Tony Gindal berkata, sesi perkenalan itu merupakan titik permulaan kepada usaha untuk memajukan penduduk di pedalaman yang masih ketinggalan dalam arus pembangunan.

"Sebelum ini kami hanya berhubung menggunakan WhatsApp. Diharapkan dengan perjumpaan itu anggota kami dapat berkenalan antara satu sama lain dengan lebih baik lagi.

"Ini akan memudahkan pertukaran idea dan merancang program-program yang boleh membawa kemajuan kepada penduduk di pedalaman," katanya.

-- BERNAMA
Masyarakat Dayak Diminta Buat Teguran Membina Bukan Aibkan Pemimpin Masyarakat Dayak Diminta Buat Teguran Membina Bukan Aibkan Pemimpin Reviewed by Unknown on September 21, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.