KOTA SAMARAHAN: Trend penyakit jantung di negeri ini terus meningkat dengan purata 12 hingga 15 pesakit dimasukkan ke Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak (HUS) setiap hari.
Lebih membimbangkan, trend penyakit yang merupakan pembunuh nombor satu negara ini didapati menyerang individu seawal usia 20 tahun ke bawah malah sebahagian kecil bayi.
Melihat kepada trend tidak sihat ini, Pengarah Pusat Jantung HUS Dr Mohd Asri Riffin berkata terdapat keperluan untuk menambah bilangan katil di hospital ke tahap maksimum.
Buat masa ini katanya, pihak hospital hanya mempunyai 106 katil untuk menempatkan pesakit sehingga ke aras empat dan akan ditambah sehingga ke aras lapan bangunan jika perlu.
“Selain itu pihak hospital juga dalam proses menambah sebuah lagi ‘Invasive Cardiac Lab’ atau ICL di sini yang mana kini dalam kerja-kerja pelaksanaan dengan kos RM3 juta.
“Dengan adanya kemudahan ICL kedua ini nanti, kami percaya ia akan mampu menampung lebih ramai bilangan pesakit yang dirujuk di hospital ini setiap hari,” katanya sambil menambah, seramai 3,700 pesakit dimasukkan ke pusat jantung itu setahun dan 20,000 lagi pesakit luar. Dr Asri berkata demikian pada sidang media mengenai Hari Jantung Wanita di Bilik Mesyuarat, Aras 3, Pusat Jantung HUS di sini semalam.
Sementara itu, Ketua Jabatan Kardiologi Pusat Jantung HUS Dr Ong Tiong Kiam berkata dianggarkan 15 peratus daripada populasi di negara ini adalah daripada kalangan individu berumur 60 tahun ke atas menjelang 2020 berbanding 5.6 peratus pada 2012.
Trend penyakit jantung yang semakin meningkat dan menyerang seawal usia ini adalah disebabkan gaya hidup masyarakat masa kini yang tidak sihat.
Jika langkah pencegahan diambil pada seawal usia muda lagi, risiko untuk menghidap penyakit jantung ini mungkin dapat dikurangkan, kata Dr Ong.
Antara langkah yang boleh diambil ialah cara pemakanan yang sihat, pemeriksaan kesihatan secara kerap, senaman yang mencukupi dan berhenti daripada merokok.
Dalam pada itu Pusat Jantung HUS merupakan antara yang ketiga atau keempat terbesar dalam negara dengan tiga pakar bedah, dua pakar bius dan lapan pakar jantung. - UB
Trend Penyakit Jantung Di Sarawak Meningkat
Reviewed by uMieySurianie
on
September 18, 2015
Rating:
Reviewed by uMieySurianie
on
September 18, 2015
Rating:

No comments: