SHAH ALAM: Seorang ahli perniagaan dikenakan kompaun RM5,000 bagi kesalahan mencederakan seorang pekerja warga asing di premis cuci kereta di Kampung Baru Subang, minggu lalu.
Mohd Risamuddin Abdul Wahab, 36, mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan terhadap pekerja warga Bangladesh, Shaheb Ali.
Kompaun itu perlu dibayar kepada mangsa dan majikannya, Haziyati Abdul Hamid.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di premis cuci kereta, Master Clean Car, Kampung Baru Subang pada jam 12.45 tengah hari, 17 Oktober 2015.
Majistret Ellyana Razali mengarahkan tertuduh membayar kompaun itu selepas kedua-duanya mencapai persetujuan mengikut Seksyen 260 Kanun Acara Jenayah.
Penyelesaian itu juga termasuk permohonan maaf secara terbuka Risamuddin kepada Shaheb.
Mohd Risamuddin yang berdiri di kandang tertuduh, memohon maaf atas perbuatannya sambil menghulur tangan kepada Shaheb.
Rakaman tindakan Mohd Risamuddin memukul Shaheb di premis cuci kereta berkenaan tersebar di media sosial sejak Sabtu lalu.
Dalam kejadian itu, Shaheb dikatakan cedera di hidung akibat dipukul Mohd Risamuddin yang tidak berpuas hati bahagian dalam keretanya kotor ketika dicuci.-mStar
Akibat Pukul Pencuci Kereta, Ahli Perniagaan Didenda RM5,000
Reviewed by Unknown
on
October 21, 2015
Rating:
No comments: