BUTTERWORTH: Malaysia perlu menggunakan peluang sebagai pengerusi ASEAN untuk mencari penyelesaian berhubung isu jerebu dengan negara anggota.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata sudah tiba masanya negara anggota ASEAN mengambil langkah bersama bagi mengatasi masalah jerebu yang sudah sekian lama membelenggu dan bukan hanya meletakkan perkara itu di bahu Indonesia semata-mata.
Beliau berkata, isu jerebu ini perlu dijadikan agenda ASEAN supaya langkah mengatasinya dapat dilakukan dengan lebih berkesan.
"Sekarang kita hanya berharap supaya Indonesia dapat mencari penyelesaian, namun dengan mengharapkan negara itu sahaja ia tidak akan selesai dan akhirnya yang menjadi mangsa adalah tiga negara termasuk Malaysia, Singapura dan mungkin Brunei.
"Malah, masalah jerebu semakin meruncing apabila kita terpaksa menutup sekolah dan ini sekali gus menjejaskan sistem pendidikan negara," katanya ketika merasmikan Konvensyen MIC Pulau Pinang di sini, sebentar tadi.
Mengulas lanjut, Dr Subramaniam berkata, ASEAN perlu memandang jerebu sebagai isu serantau yang memerlukan penyelesaian bersama tanpa mengharapkan pada satu negara semata-mata.
Dalam pada itu, mengulas mengenai penganjuran Hari Sukan Negara (HSN) pada Sabtu ini, Dr Subramaniam berkata, terpulang kepada penganjur sama ada mahu meneruskan program berkenaan atau sebaliknya.
"Itu terpulang kepada mereka (penganjur) dan saya percaya ia (penganjuran HSN) bergantung pada keadaan," katanya.
Sementara itu, Dr Subramaniam berkata, MIC akan memperkemas jentera bagi mengembalikan kepercayaan masyarakat India di negara ini terhadap parti.
"Kita mempunyai tanggungjawab untuk suarakan pandangan dan selesaikan isu masyarakat India di negara ini.
"Malah di Pulau Pinang, jentera MIC juga akan berusaha untuk menawan kembali dua kerusi termasuk Parlimen Bagan dan DUN Perai yang kita tewas sejak 2008 dengan melaksanakan program berkesan mendekati pengundi," katanya. - BH
Jerebu: Malaysia Perlu Guna Kedudukan Sebagai Pengerusi ASEAN
Reviewed by uMieySurianie
on
October 05, 2015
Rating:
No comments: