Seo Services

Kerajaan Akan Cegah Pembakaran Terbuka Melalui Prosedur Tetap - Wan Junaidi


KUCHING: Kerajaan akan memfokuskan kepada tindakan pencegahan pembakaran terbuka melalui Prosedur Tetap Operasi Pencegahan Pembakaran Terbuka dan Prosedur Tetap Operasi Bagi Pencegahan Kebakaran Tanah Gambut Sering Terbakar, di samping mempertingkatkan tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas di seluruh negara kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata, kebakaran hutan dan pembakaran terbuka bukan sahaja menyebabkan kemusnahan sumber alam, malahan kesan yang lebih buruk lagi adalah masalah jerebu yang menjejaskan kesejahteraan dan kesihatan rakyat serta sosio-ekonomi negara.

“Saya sendiri baharu sahaja pulang dari Hanoi, Viet Nam bagi menghadiri Mesyuarat Ke-11 Negara Parti Kepada Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (Conference of Parties (COP) to the ASEAN Agreement on Transboundary Haze Pollution) pada 29 Oktober lalu,” katanya.

Junaidi berkata, antara perkara-perkara yang telah dipersetujui di kalangan negara ASEAN adalah supaya melaksanakan tindakan-tindakan pencegahan jerebu yang lebih berkesan sebagai persediaan menghadapi fenomena El-Nino kuat sehingga awal tahun 2016 dan tindakan pemadaman kebakaran di peringkat awal (early fire suppression).

“Suka untuk saya maklumkan bahawa di peringkat persekutuan, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) berpegang teguh kepada visi Kementerian dalam menerajui pengurusan sumber asli dan pemuliharaan alam sekitar secara berkekalan di negara ini,” katanya.

Junaidi juga menegaskan bahawa usaha menangani masalah alam sekitar tidak harus menjadi tanggungjawab kerajaan semata-mata malah ia perlu didokong bersama oleh semua anggota masyarakat.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Perasmian Minggu Alam Sekitar Malaysia (MASM) Peringkat Negeri Sarawak 2015 di Medan Niaga Satok, Kuching hari ini. – Sarawakiana
Kerajaan Akan Cegah Pembakaran Terbuka Melalui Prosedur Tetap - Wan Junaidi Kerajaan Akan Cegah Pembakaran Terbuka Melalui Prosedur Tetap - Wan Junaidi Reviewed by uMieySurianie on October 31, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.