KUCHING: Polis Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching menahan tiga orang termasuk sepasang suami isteri dalam dua serbuan berasingan di sini kerana disyaki memiliki dadah jenis ganja, Selasa.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuching ACP Roslan Bek Ahmad, dalam serbuan di sebuah bilik hotel di Simpang Tiga di sini kira-kira jam 2 petang semalam, polis menahan pasangan suami isteri tersebut yang ketika itu bersama dua anak mereka.
Katanya, polis menemui kotak rokok di atas meja yang di dalam terdapat satu plastik lutsinar mengandungi satu ketulan mampat tumbuhan kering disyaki ganja yang dianggarkan seberat 6.24 gram.
"Hasil pemeriksaan lanjut, polis menjumpai beg mengandungi satu bungkusan plastik berwarna merah yang bersimpul dan di dalamnya ada ketulan mampat tumbuhan kering disyaki ganja yang dibalut dengan plastik lutsinar dianggarkan seberat 746.80 gram," kata Roslan dalam satu kenyataan Selasa.
Menurut Roslan, turut dijumpai di dalam beg tersebut ialah sebilah pisau berwarna kuning/hitam dan satu alat penimbang.
Katanya, polis turut merampas satu botol yang telah diubahsuai dipercayai alat untuk menghisap ganja.
"Lelaki dan wanita yang tidak mempunyai pekerjaan itu ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," kata Roslan sambil menambah ganja yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM15,060.
Sementara itu, susulan tangkapan berkenaan polis telah menyerbu sebuah rumah di Sungai Gita Matang Merryland Estate di sini dan menahan seorang kerani lelaki sebuah syarikat kewangan berusia 33 tahun.
Katanya, pemeriksaan yang dilakukan polis menjumpai satu plastik yang di dalamnya terdapat mampatan tumbuhan kering disyaki ganja seberat 272.45 gram.
Roslan berkata ketiga-tiga suspek kini ditahan reman selama tujuh hari, manakala dua kanak-kanak terbabit telah diserahkan kepada datuk sebelah bapa mereka.
--BERNAMA
Polis Tahan Pasangan Suami Isteri Dan Seorang Lelaki Lain Kerana Miliki Dadah
Reviewed by Unknown
on
October 07, 2015
Rating:
Reviewed by Unknown
on
October 07, 2015
Rating:

No comments: