Seo Services

Sarawak Buka Estet Perindustrian Perkasa IKS Luar Bandar


MIRI: Sarawak akan membangun estet perindustrian baharu di bandar kecil seluruh negeri di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) untuk menjana pertumbuhan dan pembangunan industri kecil dan sederhana (IKS).

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata di bawah program pembangunan RMK11 (bermula 2016 hingga 2020), sekurang-kurangnya terdapat sebuah kawasan perindustrian akan dibangunkan di setiap daerah, terutama di luar bandar.

“Usaha itu kelak mempercepat pembangunan luar bandar sejajar dengan agenda kerajaan negeri mahu membantu menambah pendapatan penduduk pedalaman,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada majlis makan malam sempena meraikan peserta Persidangan PKS Asia Ke-3 di sini, malam kelmarin.

Teks ucapan beliau telah dibaca Menteri Muda Pembangunan Perindustrian Datuk Julaihi Narawi.

Menurut Adenan, perancangan itu adalah tambahan kepada usaha kerajaan negeri memperuntuk lebih RM3 bilion bagi membangun 7,200 hektar tanah untuk tujuan perindustrian di seluruh negeri termasuk 481 ekar di Taman Perindustrian Samalaju di Bintulu, ke arah merangsang pertumbuhan IKS.

Katanya peruntukan itu disalur menerusi pelbagai agensi kerajaan sedia ada, bertujuan membantu sebanyak 43,830 IKS (jumlah didaftarkan pada 2011) meningkat serta memperluas perniagaan masing-masing.

“Kerajaan amat menyedari pentingnya IKS ini sebagai pemangkin kepada ekonomi dan untuk meningkat taraf hidup rakyat khususnya di luar bandar.

“Statistik menunjukkan bahawa IKS menjadi salah satu penyumbang amat besar kepada pelaburan dan ekonomi negeri dengan kebanyakannya terbabit dalam sektor perkhidmatan dan perkilangan,” katanya.

Adenan berkata, IKS di Sarawak juga perlu memperluas pasaran produk dan perniagaan mereka ke luar negara, khususnya negara rantau Asia, apatah lagi Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) yang kini mempunyai populasi mencecah 625 juta, memberi potensi amat hebat untuk perdagangan dan perniagaan.

“Jika ekonomi negara-negara ASEAN digabung ia boleh menjadi antara lima kuasa ekonomi terbesar selepas Kesatuan Eropah, Amerika, China dan Jepun,” katanya.

Adenan berkata Sarawak mempunyai kelebihan kerana berkongsi sempadan dengan Brunei dan Indonesia, yang perlu dijadikan sebagai peluang mudah memasarkan produk dan perkhidmatan IKS.

“Usahawan di Sarawak harus berani meneroka peluang peniagaan di kalangan negara ASEAN dan tidak terlalu bergantung kepada pasaran tempatan yang kecil,” katanya.

Mengenai Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE), Adenan berkata sejumlah RM30 bilion nilai pelaburan sudah dilaburkan di kawasan Taman Perindustrian Samalaju.

Beliau berkata, sejumlah 15 syarikat dengan nilai pelaburan RM25 bilion sudah mula beroperasi di kawasan itu dan ia akan memberi peluang perniagaan lebih baik kepada IKS di Sarawak.

Turut hadir Pengerusi Majlis Antarabangsa Untuk SME dan Keusahawanan (ICSMEE) Malaysia Tan Sri Abdul Rahman Mamat, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia Datuk Hafsah Hashim, Pengarah Eksekutif Majlis Antarabangsa untuk Perniagaan Kecil (ICSB) Amerika Syarikat Profesor Madya Dr Ayman El Tarabishy serta Presiden ICSB Korea Dr Ki-Chan Kim.

Pada majlis sama, Julaihi turut menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara ICSB yang diwakili oleh Dr Ayman serta Dr Ki-Chan dan wakil negara-negara ASEAN.

MoU tersebut yang dinamakan Inisiatif ICSB-ASEAN bertujuan mewujudkan satu inisiatif baharu ke arah pembangunan IKS di negara rantau ASEAN menerusi kerjasama ekonomi, pendidikan, kem keusahawanan dan sebagainya.-UB
Sarawak Buka Estet Perindustrian Perkasa IKS Luar Bandar Sarawak Buka Estet Perindustrian Perkasa IKS Luar Bandar  Reviewed by Unknown on October 30, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.