Seo Services

SK Issu Bangat Lidong Dibadai Angin Kencang


KUCHING: Atap dan bumbung blok pentadbiran termasuk bilik darjah, tempat meletak kenderaan serta tandas Sekolah Kebangsaan (SK) Issu Bangat Lidong di Betong tercabut dan berterbangan dalam kejadian angin kencang jam 2 pagi semalam.

Ketua Unit Pembangunan, Pejabat Pendidikan Daerah Betong, Thomas Tarang Wat ketika dihubungi Utusan Borneo di sini berkata, kejadian angin kencang serta hujan lebat itu mengganggu tidur lena murid asrama termasuk guru serta kakitangan yang tinggal di sekolah berkenaan.

“Bagaimanapun, kita bersyukur kerana tidak berlaku sebarang kemalangan jiwa memandangkan bumbung yang diterbang angin hanya sebahagian blok pentadbiran sekolah, kelas tahun 1 hingga 4 serta ruang meletak kenderaan dan bumbung tandas,” katanya.

Beliau yang dimaklumkan akan kejadian itu segera ke sekolah terletak kira-kira 20 minit dari pusat bandar Betong untuk memeriksa impak kejadian.

“Sebaik dimaklumkan insiden tersebut, saya bersama wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Ketua Sektor Pembangunan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPN) Wan Shamsul Ri kemudian bergegas melihat kesan kerosakan di sekolah itu,” katanya.

Jelasnya, pihak JKR menganggar kos membaik pulih kerosakan akibat kejadian itu kira-kira RM80,000.

Tambahnya, bagi murid terjejas, mereka akan menumpang sementara di kelas kosong tidak digunakan sebelum ini.

“Manakala peralatan seperti fail dan komputer terdapat di bilik pentadbiran dipindah ke pejabat guru besar.

“Semua guru dan murid bergotong-royong melakukan pembersihan selain memindahkan fail dan komputer ke pejabat guru besar,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnical Rayong Ngipa ketika menghubungi Utusan Borneo melahirkan rasa simpati dengan kejadian tersebut.

“Ini kejadian pertama pernah berlaku di sekolah ini. Bagaimanapun, kita bersyukur kerana kejadian berlaku tidak mendatang kemalangan jiwa.

“Saya berharap agar semua pihak bertenang kerana pasti ada hikmah di sebalik kejadian,” katanya sambil berharap Jabatan Pendidikan Daerah Betong melalui JPN dapat menyalur dana segera untuk membaik pulih kerosakan struktur bangunan terjejas.-UB
SK Issu Bangat Lidong Dibadai Angin Kencang SK Issu Bangat Lidong Dibadai Angin Kencang Reviewed by Unknown on October 29, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.