MOHD Sharizal (dua dari kiri) bersama rakan pada sidang media khas sempena Upacara Konvokesyen ke-52 USM, kelmarin. |
Georgetown: Kecacatan kekal dialami lapan tahun lalu bukan penghalang buat seorang pelajar kelainan upaya untuk cemerlang dalam akademik dan kokurikulum.
Bagi Mohd Sharizal Abdul Aziz, 32, dia bersyukur kerana menamatkan pengajiannya menerusi program Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Kejuruteraan Mekanik di Universiti Sains Malaysia (USM) biarpun dirinya serba kekurangan.
Menurutnya, dia mengalami kecederaan saraf tunjang selepas tercampak dari ketinggian 24 meter di tempat kerjanya di kilang simen di Ipoh ketika membaiki mesin.
“Ketika itu mesin terbabit meletup dan saya tercampak hingga menyebabkan tulang belakang patah dan kini menggunakan sokongan 18 besi dalam badan untuk bergerak.
“Kecacatan dialami itu bukan penghalang untuk saya meneruskan pengajian dan ia sedikit sebanyak turut memberikan saya motivasi untuk lebih berjaya,” katanya ketika ditemui pada sidang media khas sempena Upacara Konvokesyen Ke-52 USM, di sini, kelmarin.
Mengulas kejayaannya itu, Mohd Sharizal turut menasihati pelajar lain supaya tidak cepat berputus asa dan meneruskan pengajian mereka.
“Jangan takut mencuba sesuatu yang mustahil, jika tidak berhasil cari dan baiki kelemahan itu, jangan berhenti mencuba kerana dengan cara itu, kita tidak dapat mengetahui aras kelemahan kita sendiri,” katanya.
Mohd Sharizal berkata, berkat doa dan sokongan kuat ibu juga banyak membantu dirinya hingga dia mencapai kejayaan.
“Kejayaan yang dicapai ini hadiah buat ibu yang banyak berkorban dan tidak lupa buat isteri yang banyak memberi dorongan,” katanya.
Seramai 5,665 graduan bakal dianugerahkan ijazah sempena Upacara Konvokesyen ke-52 Universiti Sains Malaysia (USM) yang akan diadakan di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), di sini, mulai Selasa ini.
Naib Canselor USM Profesor Datuk Omar Osman berkata, pada tahun ini dua graduan dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pendidikan iaitu Bekas Alumni USM yang kini menjawat jawatan sebagai Menteri Riset, Teknologi dan Pendidikan Tinggi Indonesia Profesor DR H Mohamad Nasir dan Pengerusi KLE Society India Dr Prabhakar Basaprabhu Kore.
“Mohamad Nasir dipilih susulan kejayaan menjalankan serta menerbitkan banyak penyelidikan ilmiah, selain beliau juga alumni USM manakala, pemilihan Dr Prabhakar dibuat berdasarkan kerjasama antara USM dan Universiti KLE Society India bagi program perubatan yang dijalinkan sejak lima tahun lalu,” katanya. -Metro
18 Besi Dalam Badan
Reviewed by Unknown
on
November 16, 2015
Rating:
No comments: