Seo Services

Asean Setuju Pertukaran Maklumat Cegah Jerebu


KUALA LUMPUR – Asean bersetuju mempertingkatkan penggunaan satelit melalui Pusat Meteorologi Khas Asean (ASMC) yang berpusat di Singapura bagi memastikan maklumat mengenai kebakaran di rantau ini dapat disampaikan secara meluas.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ianya bagi memastikan tindakan pencegahan jerebu dapat dijalankan dengan lebih berkesan, serta usaha memadamkan kebakaran dapat dijalankan di peringkat awal.

Perkara itu dipersetujui dalam Persidangan Pihak-Pihak Perjanjian Asean Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan ke-11 di Hanoi, Vietnam pada Khamis lepas.

“Kita ingin memperkasakan pertukaran maklumat awal ini supaya apabila disampaikan kepada negara-negara Asean, semua negara dapat bekerjasama untuk mengatasi dan memadam kebakaran di peringkat awal,” katanya semasa menjawab soalan Datuk Johari Abdul (PKR-Sungai Petani) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Johari ingin tahu tindakan negara Asean dari segi kepakaran dan fasiliti untuk menyelesaikan masalah jerebu yang melanda rantau ini baru-baru ini.

Wan Junaidi berkata Indonesia turut memberi jaminan untuk membuat persediaan dan tindakan menangani kebakaran hutan secara serius supaya tidak berulang lagi pada tahun depan.
Indonesia juga menyatakan kerjasama dengan Malaysia untuk menangani jerebu rentas sempadan termasuk mengambil tindakan susulan untuk memuktamadkan draf Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah dikemukakan untuk persetujuan bersama, katanya.

Selepas kira- kira dua bulan keadaan berjerebu melanda seluruh negara, kualiti udara di kebanyakan tempat di seluruh negara menunjukkan pemulihan yang ketara sejak Khamis lepas.

Jerebu yang melanda negara kini semakin pulih berikutan semakin banyak kawasan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap sihat. – BERNAMA
Asean Setuju Pertukaran Maklumat Cegah Jerebu Asean Setuju Pertukaran Maklumat Cegah Jerebu Reviewed by uMieySurianie on November 02, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.