Seo Services

Malaysia Perlu Elak Dieksploitasi Pengganas


Malaysia perlu memastikan isu ekonomi, politik dan pemerdagangan manusia diberi perhatian dalam perbincangan hal keselamatan dan pertahanan negara bagi mengelak ia dieksploitasi pihak tertentu termasuk pengganas, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata langkah itu perlu bagi menjamin tiada pihak mengeksploitasi perpecahan, kemarahan, kerakusan dan keegoan yang mungkin berlaku antara rakyat dan pemimpin negara rentetan daripada isu-isu itu.

"Meskipun terdapat usaha-usaha lain dibuat untuk menguatkan pertahanan dan keselamatan (negara), perlu mengambil kira ujian-ujian seperti ekonomi dan politik.

"Kedua, perlu lihat pergerakan kes pemerdagangan manusia yang mana ada kesempatan untuk pihak-pihak militan terlibat secara senyap sekaligus membawa ancaman kepada negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Perayaan Deepavali Peringkat Negeri Johor di Dewan Bandaran Kejora, di sini hari ini.

Beliau mengulas insiden keganasan di Paris, Perancis pada Jumaat malam yang menyebabkan lebih 100 orang terbunuh dan lebih 200 yang lain cedera yang dikaitkan dengan kumpulan militan.

Hishammuddin berkata, serangan berskala besar itu menandakan Asean turut perlu mempercepatkan proses perdamaian di Mindanao, Filipina dan selatan Thailand yang kini bergolak akibat kumpulan-kumpulan pemisah.

"Semua orang tahu kumpulan (pemisah) Abu Sayyaf (di Mindanao) telah berikrar menyokong kumpulan militan IS baru-baru ini dan proses perdamaian di kawasan itu dilihat begitu kritikal untuk memastikan kestabilan rantau Asean dipertahankan," katanya.

Beliau juga menarik perhatian, di Malaysia, beliau bersama-sama beberapa lagi pemimpin negara tidak terkecuali daripada menjadi sasaran IS.

Hishammuddin berkata, beliau tahu tentang perkara itu melalui senarai yang dikeluarkan kumpulan itu sebelum Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan Asean Mac lalu, namun menurutnya, beliau tidak takut dengan ancaman itu.

"Memang IS sudah mengeluarkan senarai sasaran mereka terhadap pemimpin-pemimpin negara tetapi saya mahu maklumkan bahawa ia tidak akan menakutkan kami.

"Sebaliknya saya bersama-sama Menteri Pertahanan Asean lain akan terus pastikan Asean menentang mereka habis-habisan dengan tidak mengambil mudah perkara tertentu kerana sesiapa pun boleh menjadi individu yang me bawa huru-hara," katanya. - Bernama
Malaysia Perlu Elak Dieksploitasi Pengganas Malaysia Perlu Elak Dieksploitasi Pengganas Reviewed by Unknown on November 15, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.