Gambar hiasan |
KUCHING: Percutian ke bandar raya ini menjadi pengalaman tidak dapat dilupakan bagi pelancong dari Jepun apabila berhadapan detik mencemaskan ketika diragut di Jalan Green Hill, awal pagi semalam
Dalam insiden sekitar jam 3 pagi itu, mangsa bersama rakannya dalam perjalanan balik ke hotel apabila dihampiri seorang lelaki bermotosikal.
Difahamkan, mereka pada mulanya tidak mengendahkan kehadiran lelaki tersebut tetapi terkejut apabila beg tangannya diragut.
Insiden tersebut berlaku terlalu pantas dan suspek gagal dihalang daripada memecut lari dari tempat kejadian.
Beg itu dikatakan mengandungi wang tunai lebih RM1,000, telefon bimbit dan dokumen penting.
Mangsa yang tidak mengalami sebarang kecederaan telah membuat laporan polis untuk siasatan.
Dalam kes berasingan, seorang wanita terpaksa berputih mata apabila sebahagian daripada gaji yang baharu dikeluarkan dari bank hilang sekelip mata dalam kejadian ragut di Jalan Sultan Tengah di Petra Jaya.
Mangsa dalam lingkungan usia 20-an dalam perjalanan balik ke rumahnya di Bandar Baharu Samariang dengan menaiki motosikal apabila insiden sekitar jam 8 malam itu berlaku.
Difahamkan, suspek yang bermotosikal meragut beg tangan mangsa yang sedang membonceng motosikal bersama rakannya.
Antara barangan dilaporkan hilang termasuk wang tunai kira-kira RM500 dan telefon bimbit.
Laporan polis telah dibuat untuk tindakan selanjutnya. - UB
Pelancong Jepun Menjadi Mangsa Ragut
Reviewed by uMieySurianie
on
November 02, 2015
Rating:
No comments: