Seo Services

Pustakawan Disaran Terlibat Secara Aktif Dalam Pembelajaran Pelajar


KUCHING - Pustakawan disaran supaya terlibat secara aktif dalam pembelajaran pelajar melalui penyediaan pelbagai teknologi yang sesuai dengan perkembangan semasa.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Prof Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata pelbagai kaedah dan media kini digunakan bagi memastikan maklumat yang diperlukan boleh diperoleh serta dicapai tanpa mengira masa dan tempat.

Berucap merasmikan Seminar Kepustakawanan bertemakan 'Memperkasa Perpustakaan Melalui Inisiatif Berasaskan Keberhasilan' di sini hari ini, beliau berkata pustakawan harus melihat kepada penilaian berasaskan hasil demi membentuk sifat kemenjadian individu secara holistik.

"Tanpa penghayatan terhadap ilmu yang dipelajari, pengukuhan elemen keusahawanan, holistik dan seimbang dalam diri setiap pelajar pengajian tinggi tidak akan tercapai. Maka pengajian selama empat atau lima tahun di institusi pengajian tinggi akan hanya jadi sekadar mengejar segulung ijazah.

"Justeru, pengukuhan elemen ini sangat perlu untuk menjamin penghasilan graduan yang berkualiti dan mampu menjiwai ilmu," katanya.

Pusat Khidmat Maklumat Akademik Unimas menganjurkan seminar ini dengan objektif untuk membincangkan peranan pustakawan dan pengurus maklumat ke arah anjakan paradigma melalui percambahan idea serta ilmu baharu.

Seminar ini merupakan acara tahunan yang dihadiri semua kumpulan profesional kepustakawanan seluruh Malaysia dan luar negara.

Sembilan belas kertas kerja dibentangkan dalam empat sesi yang dibahagikan kepada perkhidmatan, sumber, kompetensi dan pembangunan modal insan, dan prasarana. - Bernama
Pustakawan Disaran Terlibat Secara Aktif Dalam Pembelajaran Pelajar Pustakawan Disaran Terlibat Secara Aktif Dalam Pembelajaran Pelajar Reviewed by Unknown on November 26, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.